KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara di sini.
Seri Paduka Baginda tiba di Masjid Negara sekitar pukul 8.15 pagi bersama Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Baginda yang lengkap berpakaian baju Melayu berwarna hijau muda diiringi oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tiba pada pukul 8.05 pagi.
Selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri, Al-Sultan Abdullah dan Perdana Menteri dijadual menuju ke Istana Negara bagi menghadiri santapan Aidilfitri.
Turut kelihatan hadir, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifudin Nasution dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Masjid Negara mula dibanjiri lebih 10,000 para jemaah seawal pukul 7 pagi bagi memeriahkan pagi Syawal Pertama ini. – KOSMO! ONLINE