PETALING JAYA – Orang ramai disaran untuk bersedia dengan kekuatan mental bagi menempuh Hari Raya Aidilfitri, tahun ini.
Menurut Public Health Malaysia (PHM), hari raya merupakan hari yang penuh emosi, lalu teguran dan gurauan saudara jangan diambil secara peribadi.
“Hari raya juga hari yang penuh keinsafan dan kesyahduan terutama bagi sesiapa yang baru kehilangan insan tersayang.
“Adalah penting untuk kita membina kekuatan mental untuk menempuh hari raya dan jangan ambil teguran atau gurauan secara serius.
“Anggaplah pertanyaan mereka hanya modal untuk membuka bicara perbualan tanpa sebarang niat yang lain,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Dalam pada itu, PHM turut menasihati individu agar jangan mudah merajuk dan bermasam muka dengan orang tua, kerana mungkin ini Syawal terakhir bersama mereka.
“Ambil ruang bermaafan sebagai lembaran baru jika ada konflik antara keluarga sebelum ini.
“Akhir sekali, janganlah tanya soalan-soalan yang sensitif dan menjatuhkan maruah seseorang. Pegang prinsip, ‘orang tak cerita, kita jangan bertanya’,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE