fbpx

Pendaki ME 2023 sambut Aidilfitri di EBC esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pendaki ME2023 (dari kanan), Ling Yang, Awang Askandar, Azim, Ayu dan Hawari akan menyambut Aidil Fitri di EBC, esok. Foto ihsan ME2023.

PUTRAJAYA – Berdepan cuaca sejuk sekitar -10 darjah Celcius pada paras 5,365 meter dari aras laut tidak menghalang pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) untuk menggayakan busana lengkap baju Melayu.

Semangat Aidilfitri itu dikongsi tiga pendaki ME2023, di Everest Base Camp (EBC) pada sekeping gambar buat tatapan ahli keluarga dan rakyat Malaysia yang bakal menyambut 1 Syawal esok.

Lima pendaki negara diketuai Azim Afif Ishak, 35, Muhammad Hawari Hashim, 33, Awang Askandar Ampuan Yaacub, 55, Tiong Ling Yang, 30 dan Ayu Wanirah Naharuddin, 30, selamat tiba di EBC, semalam.

Azim berkata, dia tidak dapat menahan sebak apabila terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga pada Aidilfitri kali ini lebih-lebih lagi apabila mengenangkan dua anaknya yang masih kecil.

Katanya, apa yang pasti tiada ketupat, lemang dan rendang untuk dijamah esok kerana yang ada hanyalah biskut kering dan makanan lain bagi menyambut Syawal.

“Kami tiba di EBC semalam selepas memulakan penyesuaian diri sejak 7 April lalu dengan aktiviti ‘trekking’ sebelum tiba di EBC untuk menyambut Aidilfitri.

“Aktiviti ‘trekking’ itu mengambil masa selama 14 hari sejauh 77.48 kilometer (km) bermula di Namche Bazar sebelum melalui beberapa kawasan seperti Dhole, Machharmo, Gokyo, Thangnak, Dzongla, Dingboche dan Lobuche.

“Alhamdulillah, kami semua berada dalam keadaan selamat dan sihat malah, kami tidak sabar untuk menawan Everest yang dijangka bermula awal Mei ini,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Awang Askandar berkata, dia juga turut berasa sedih kerana buat tahun kedua tidak dapat beraya bersama keluarga namun, perasaan itu terpaksa dilupakan demi menakluk Everest.

“Semua perasaan itu perlu dihadapi dengan sabar demi menyelesaikan impian yang tertangguh dan masih belum tercapai.

“Walaupun tanpa ketupat dan rendang, semua itu tidak melemahkan semangat mereka untuk terus kekal dan bertekad menawan puncak Everest.

“Kita akan sediakan makanan seadanya untuk hidangan di pagi Aidilfitri dan esok dijangka salji akan mula turun di EBC menjadikan suasana di sini semakin sejuk,” katanya.

Pendaki ME 2023 bertolak ke Nepal pada 2 April lalu dan dijangka memulakan misi yang tertangguh pada tahun lalu bermula awal Mei ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI