PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berkongsi kod QR bank peribadi mereka secara meluas di media sosial bagi mengelakkan diri menjadi mangsa scammer.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi akauan Facebooknya berkata, trend tersebut dilihat meningkat susulan penerimaan duit raya secara digital.
“Berhati-hati ketika memberikan kod QR akaun bank untuk tujuan menerima duit raya.
“Pendedahan maklumat akaun di media sosial adalah tidak digalakkan kerana dikhuatiri akan disalah guna oleh scammer melalui pancingan data untuk tujuan penyamaran dan penipuan kewangan,” tulisnya dalam hantaran tersebut.
Baru-baru ini, pengguna media sosial dilihat semakin rancak mempamerkan kod QR bank peribadi masing-masing untuk meminta dan menerima duit raya daripada orang awam.
Tindakan tersebut dilihat bertujuan bagi menerima duit raya secara rawak daripada pengguna media sosial yang lain sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.- KOSMO! ONLINE.