KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih kelab Universiti Teknologi Mara (UiTM) FC, Frank Bernhardt enggan menjadikan situasi diletakkan dalam balang A sebagai kelebihan utama buat pasukannya menjelang undian Piala Malaysia yang akan berlangsung Ahad ini.
The Lion Troops diletakkan dalam balang A selepas menamatkan saingan Liga Super ini pada tempat keenam setelah diberikan kemenangan percuma 3-0 ke atas Sabah yang sepatutnya berlangsung di Stadium Hang Jebat, Melaka malam esok.
“Saya berpuas hati dengan pencapaian tempat keenam dalam saingan liga memandangkan kami adalah pasukan yang baharu dinaikkan pangkat ke Liga Super daripada saingan Liga Premier musim ini.
“Cuma saya tidak fikir apa-apa mengenai laluan yang dikatakan sedikit mudah apabila berada dalam balang A untuk saingan Piala Malaysia.
“Masih ada pasukan-pasukan hebat seperti PJ City FC, Pahang dan Melaka United yang mungkin akan diundi bertemu kami di pusingan awal nanti,” kata Bernhardt dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Bernhardt bersimpati dengan nasib menimpa Sabah selepas permohonan mereka keluar daripada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilanjutkan sehingga 9 November ini tidak diluluskan oleh Majlis Keselamatan Negara.
“Satu perkara yang menyedihkan selepas persiapan sekian lama telah dilakukan oleh pasukan kami dan juga mereka. Namun, akhirnya disebabkan situasi yang tidak dijangka, mereka tidak dibenarkan keluar.
“Mungkin ini keputusan terbaik yang dibuat kerajaan ekoran situasi di sana. Saya mengharapkan Sabah mampu bangkit daripada situasi ini untuk saingan musim depan,” jelasnya.
Lebih malang, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) juga mengesahkan Sabah tidak akan mengambil bahagian dalam saingan Piala Malaysia yang akan membuka tirainya bermula 9 November ini. – K! ONLINE