KUALA LUMPUR – Tindakan penutupan sementara kesemua panggung wayang GSC Cinemas dan TGV Cinemas di seluruh negara berkuat kuasa bermula 2 November ini menggusarkan penggiat filem dan sinematik tanah air.
Penerbit, Zuli Ismail berkata, dia terpaksa menundakan tayangan filem komedi Mencari Rahmat buat kali kedua akibat situasi tersebut.
“Filem ini sepatutnya ditayangkan di 50 buah pawagam termasuk TGV, GSC, MBO dan pawagam-pawagam lain pada Julai lalu, namun disebabkan penularan Covid-19, kita terpaksa menundakannya.
“Sebagai penerbit memang saya ‘mati kutu’ dengan apa yang berlaku. Semoga ada sinar di hujung terowong,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Zuli berkata, pihaknya sudah membelanjakan lebih RM200,000 untuk tujuan pemasaran dan publisiti filem yang dibintangi pelakon hebat seperti Namron sebagai Razak, Amerul Affendi, Nadia Aqilah, Sharifah Amani, Adibah Noor dan Fauziah Nawi itu.
“Kos pembikinan filem ini memakan belanja RM500,000. Itu belum termasuk kos pemasaran dan publisiti yang menelan RM200,000,” katanya.
Semalam, GSC dan TGV mengumumkan kesemua panggung wayang GSC Cinemas dan TGV Cinemas akan ditutup sementara berkuat kuasa bermula 2 November sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak.
Penututupan tersebut merupakan langkah bagi mengawal penularan pandemik Covid-19 yang kembali memuncak sejak kebelakangan ini.
Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Zakaria Abdul Hamid berkata, pihaknya telah membuat pemantauan selama sebulan untuk mengkaji kaedah terbaik bagi membantu pengusaha panggung wayang yang menjadi medium tayangan filem tempatan.
Katanya, Finas akan membentangkan satu kertas kerja kepada pihak kerajaan dalam usaha mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.
“Finas nampak ada kaedah yang boleh dibantu iaitu pembiayaan pinjaman mudah agar panggung wayang boleh dibuka semula dan filem tempatan dapat ditayangkan serta keuntungan dapat diperoleh.
“Kalau diikutkan, prosedur operasi standard yang ditetapkan buat masa ini tidak membantu penjualan filem kerana tidak mesra penonton menyebabkan pengusaha panggung wayang mengalami kerugian,” ujarnya.-K! ONLINE