PENYINGKIRAN Khairul Idham Pawi dalam Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) kelas Moto3 akhir musim ini bersama pasukan Petronas Sprinta Racing menerima reaksi kurang senang pelbagai pihak.
Ada yang mengatakan ia merupakan satu tindakan tidak wajar dan tidak patriotik memandangkan Khairul Idham atau dikenali sebagai Super KIP beraksi bersama pasukan milik Malaysia.
Namun ada juga yang menyokong tindakan prinspial pasukan Petronas Sepang Racing Team (PSRT), Datuk Razlan Razali yang melihat kejayaan sesebuah pasukan itu perlu hadir dengan keputusan yang terbaik.
Tidak dinafikan, KIP merupakan pelumba berbakat negara selepas meraih dua kemenangan 2016 di Grand Prix (GP) Argentina dan Jerman.
Perlu diingat, jutaan ringgit dikeluarkan bagi meletakkan pelumba negara di puncak dunia dan pelbagai peluang diberikan, namun hasilnya tidak mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).
Penaja-penaja setiap pasukan mengharapkan keputusan yang baik supaya nama, jenama atau produk mereka dapat didedahkan kepada seluruh dunia menerusi siaran televisyen atau di laman media sosial.
Bukan sahaja Petronas menjadi penaja dalam pasukan, namun pelbagai penaja turut berada di belakang pasukan itu. Justeru, keputusan perlulah seiring dengan modal yang dikeluarkan.
Prestasi KIP menurun musim ini sejak menyertai PSRT selain isu kecederaan yang memaksanya untuk memotong jari.
Razlan berkata, pihaknya telah melakukan sebaik yang mungkin untuk membantu pelumba muda negara itu dan turut menyelamatkan kariernya selepas tersisih daripada pasukan Honda pada musim 2018.
“Kita tidak jangka prestasi KIP seperti ini kerana tiap-tiap perlumbaan dia menamatkan saingan di kelompok terakhir. Pasukan memberikan dia peluang dan melakukan banyak perkara untuk memastikan dia mampu tampil cemerlang, namun tiada tanda dia mampu bangkit.
“Sebelum ini pasukan mensasarkan dia dalam kelompok 15 terbaik sebelum turun ke-20 terbaik.
“Apa yang kita berikan kepada pelumba lain dan juga pelumba Malaysia adalah sama. Tiada yang beza, namun KIP gagal menjelmakan keputusan yang terbaik. KIP bukan lagi pelumba rookie dan merupakan pelumba berpengalam.
“Oleh itu, kita tidak mahu perkara seperti ini berulang dan kita mahu melihat pelumba-pelumba pelapis benar-benar bersedia sebelum kita angkat mereka ke pentas dunia,” katanya.
Razlan turut menegaskan dia tidak mahu membina pasukan ‘cincai’ untuk menggantikan tempat Khairul bersama pasukan Moto3.
“Penyokong Malaysia beremosi sebab mereka bersemangat. Kami banyak menerima kritikan. Walaupun ada program pembangunan tetapi kami tidak mahu meletakkan pelumba tempatan yang belum bersedia di pentas seperti MotoGP.
“Jika kami meletakkan pelumba kita di Moto3, penyokong akan kata tahniah Petronas sebab gantikan KIP dengan pelumba tempatan. Tetapi jika dia tidak bagus, dia akan dikritik.
“Bukan itu sahaja, pelumba kita juga jatuh disebabkan prestasi dia sendiri, di mana mereka belum bersedia mengharungi cabaran ini,” tambahnya.
Justeru, pelumba pelapis negara yang sedang beraksi di kancah perlumbaan tempatan mahupun di Eropah perlu bekerja keras dan mempamerkan aksi yang cukup baik untuk merebut tempat menyertai pasukan negara nanti.-K! ONLINE