fbpx

Liga Super: Pemain Kelantan United tidak cukup rehat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUFC masih gagal untuk meraih sebarang kemenangan selepas sembilan perlawanan dan terperosok ke tangga tercorot Liga Super. Foto ihsan KUFC

PEMAIN penat dan tidak cukup rehat. Itu alasan yang diberikan penolong ketua jurulatih Kelantan United (KUFC), Nazrulerwan Makmor selepas menyaksikan pasukannya ‘rebah’ 0-2 di tangan tuan rumah, Penang FC di Stadium Bandaraya malam kelmarin.

Nazrulerwan berkata, jadual yang padat serta perjalanan yang panjang secara berturut-turut bermula dengan menentang Kuching FC di Sarawak seterusnya ke Pahang dan ke Sabah dalam tempoh kira-kira dua minggu sahaja sebelum ini nyata memberi kesan kepada aksi pemain di atas padang malam itu.

Beliau berkata, selain dua faktor utama itu, masalah kesihatan serta kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama mereka turut menjejaskan prestasi skuad Kijang Hijau ketika ini.

“Pada masa yang sama, kita juga kena terima hakikat bahawa kita bermain dan kecundang kepada satu pasukan yang memiliki kualiti lebih baik (ketika menentang Penang FC).

“Ya. Itu hakikat. Tapi, saya beritahu pemain-pemain saya (malam itu) supaya sedaya upaya tidak beri peluang kepada lawan untuk hasilkan jaringan yang lebih besar,” kata bekas tonggak pertahanan Selangor dan Melaka itu.

Ketika ini, KUFC masih gagal untuk meraih sebarang kemenangan selepas sembilan perlawanan dan terperosok ke tangga tercorot liga dengan hanya mengumpul dua mata hasil dua keputusan seri iaitu ketika menentang Perak dan Kuching FC sebelum ini.

Dalam pada itu, Nazrulerwan memberitahu, beliau tidak boleh menyalahkan penyerang semata-mata setiap kali tewas walaupun masalah ketumpulan jentera serangan dalam menyudahkan setiap peluang yang terhidang masih membelenggu aksi pasukannya sepanjang saingan Liga Super setakat ini.

“Setiap kali jika ada yang tanya, memang kita cakap akan penyerang (punca gagal jaringkan gol dan menang). Tapi, kita sebenarnya bermain dengan 11 orang (pemain).

“Jadi, kita tak boleh salahkan bahagian serangan semata-mata. Kita kena salahkan diri sendiri…semua pemain (perlu memikul tanggungjawab yang sama),” ujar beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI