MILAN – Pengendali Inter Milan, Simone Inzaghi mengakui impian untuk menyaksikan pasukannya beraksi di pentas separuh akhir Liga Juara-Juara tercapai selepas menyingkirkan Benfica dengan agregat 5-3 awal pagi semalam.
Pada aksi suku akhir kedua di Stadium San Siro itu, skuad Nerazzurri berjaya mempertahankan kelebihan 2-0 yang diraih minggu lalu dengan mengikat wakil dari Portugal dengan keputusan seri 3-3.
Kata Inzaghi, kejayaan yang diraih cukup manis memandangkan pasukan sudah lama tidak beraksi dalam pentas separuh akhir dengan kali terakhir melakukannya pada edisi 2010 iaitu sewaktu bergelar juara Eropah.
“Ini adalah kegembiraan yang sukar digambarkan kerana kita mara selepas menyingkirkan pasukan hebat seperti Benfica. Secara peribadi, saya percaya tiada siapa letakkan kepercayaan buat kami pada awal musim ini.
“Situasi ini disebabkan kami diundi dalam kumpulan sukar bersama Barcelona dan Bayern Munich tetapi kami buktikan tiada apa yang mustahil. Kini, saya harap momentum sama dapat diteruskan pada aksi separuh akhir bertemu AC Milan nanti,” katanya.
Sementara itu, penyerang Inter, Lautaro Martinez mengakui cukup puas apabila dapat menamatkan kemarau sembilan aksi tanpa jaringan dengan meledak satu gol untuk membantu pasukan seri pada aksi semalam.
“Saya tidak risau langsung dengan prestasi peribadi kerana tahu ada ketika bola akan menerjah jaring dan situasi berbeza apabila nasib tidak menyebelahi saya.
“Apa yang penting, pasukan terus bekerja keras untuk mara sejauh yang boleh,” katanya. – AGENSI