fbpx

City bermandi peluh singkirkan Bayern

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAALAND meraikan jaringan ketika membantu City menyingkirkan Bayern dari saingan Liga Juara-Juara di Stadium Allianz Arena awal pagi semalam.

MUNICH – Pengurus Manchester City, Pep Guardiola me­ngakui hampir panik selepas menyaksikan pasukannya mara ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara setelah menyingkirkan jaguh Jerman, Bayern Munich dengan agregat 4-1 awal pagi semalam.

Pada aksi di Stadium Allianz Arena itu, skuad The Citizens terpaksa bermandi peluh apabila penyerang sensasi, Erling Haaland gagal menyempurnakan penalti pada babak pertama sebelum pemain antarabangsa Norway itu meledak satu gol pada babak kedua.

Namun, rekod 11 kemenangan berturut-turut akhirnya lebur apabila Bayern menyamakan kedudukan pada penghujung perlawanan hasil penalti yang disudahkan oleh Joshua Kimmich untuk menyaksikan aksi suku akhir kedua tamat dengan keputusan seri 1-1.

Kata Guardiola, barisan pemain terpaksa bermandi peluh sebelum mengesahkan kemaraan dan pujian wajar diberikan kepada tuan rumah kerana hadirkan tentangan sengit sepanjang perlawanan.

“Kami bergelut khususnya pada babak pertama apabila pa­sukan lawan beraksi begitu baik. Kami ada peluang untuk meraih gol awal tetapi penalti tersebut gagal disudahkan oleh Haaland.

“Namun, saya tidak mahu menyalahkan dirinya semata-mata kerana dia telah menebus kesilapan dengan menjaringkan gol cantik pada babak kedua. Dia adalah ayam tambatan kami dan dia pasti belajar daripada pengalaman kali ini,” katanya.

Sementara itu, pemain tengah City, Kevin de Bruyne mengakui pasukan sangat gembira dapat menempah tiket ke pentas separuh akhir apabila dijadualkan bertemu dengan juara bertahan, Real Madrid.

“Kita berjaya menyerap tekanan dari pasukan tuan rumah. Ini bukanlah perlawanan mudah tetapi semua pemain sangat gembira misi ke separuh akhir dapat dicapai,” katanya. –AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI