fbpx

Ramalan krisis air dan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
MEGAT RAMLI MEGAT RAOF, PENGARANG BERITA

Ketidakpuasan hati rakyat Lembah Klang dengan masalah bekalan air yang sering terputus akibat pencemaran sumber air nampaknya masih belum reda.

Pantang sahaja ada isu berkaitan air di media sosial, pastinya ramai memberi respons.

Baru-baru ini, seorang saintis molekular Amerika Syarikat (AS), Raven Baxter tidak menyangka ciapannya mengenai penemuan air di bulan oleh Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan mendapat respons rakyat Malaysia.

Ciapan yang dibuat menerusi akaun Twitter miliknya, @ravenscimaven itu mendapat jumlah ‘retweet’ yang banyak daripada penduduk Lembah Klang.

Netizen rakyat Malaysia mengaitkan penemuan air di bulan dengan gangguan bekalan air di Selangor sehingga mendapat perhatian wanita AS.

“Kita meraikan air dijumpai di bulan, tetapi sebahagian besar retweet, ini berasal dari orang-orang di Selangor yang mengalami gangguan bekalan air utama kerana pencemaran sumber air mentah,” kata Baxter dalam ciapannya.

Beberapa netizen lain pula bergurau dengan mengajak penduduk Lembah Klang berpindah ke bulan.

Pengguna air di Lembah Klang sebenarnya sudah muak dengan krisis bekalan air yang bagaikan tiada kesudahan.

Dalam bulan Oktober ini sahaja, tiga kali bekalan air terputus iaitu pada 4, 16 dan 19 Oktober.

Insiden terbaharu pada 19 Oktober lalu berlaku ketika penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akibat Covid-19.

Gangguan bekalan yang berlaku bagaikan meletakkan garam pada luka.

Pelbagai luahan sinis dilemparkan netizen, antaranya meminta pusat perubatan Islam merawat syarikat air Selangor yang sering mengalami gangguan.

Bagaimanapun, gangguan ini nampaknya akan terus berlaku selagi kilang-kilang haram berdekatan sungai masih wujud dan dron-dron yang dibeli Kerajaan Selangor belum lagi diterbangkan bagi mengesan penjenayah alam sekitar.

Sampai bila krisis air di Lembah Klang akan selesai tidak dapat diramalkan seperti juga dengan penularan pandemik Covid-19 di negara ini yang masih belum lagi berakhir.

Lanjutan tempoh PKPB lagi dua minggu akibat Covid-19 di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor sudah dijangkakan berikutan bilangan kes mereka yang positif virus itu terus meningkat sehingga empat digit.

Namun, sekarang kita sukar untuk meramalkan bila PKPB bakal berakhir dan penduduk terjejas dapat pulang ke kampung atau bercuti bersama keluarga.

Ketika PKP dilaksanakan dahulu, kerajaan mengambil tempoh beberapa bulan untuk mengurangkan kes dan kemudian melonggarkan sekatan.

Ketika itu, kes tidak sampai empat digit, lebih 500 kes pun belum pernah direkodkan.

Dalam gelombang ketiga ini menuntut kerjasama semua rakyat Malaysia termasuk orang-orang politik untuk memutuskan rantaian Covid-19 dan melandaikan semula lengkungan.

Kita tidak mahu hidup dalam ramalan sahaja, sebaliknya berjuang untuk mencapai matlamat.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI