fbpx

‘Saya tiada kekuatan sambut raya, terlalu rindu Damin’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hizanawati (kiri) dan Mohammad Aliff menunjukkan gambar Muhammad Damin ketika ditemui di Puncak Alam, Shah Alam baru-baru ini.

KUALA SELANGOR – Tiada apa yang lebih memilukan bagi hati seorang ibu apabila perlu menyambut Aidilfitri tahun ini tanpa anak kesayangan yang ditemui maut dalam tandas terbiar dalam kejadian di Bandar Puncak Alam, Fasa 3 di sini, Ogos tahun lalu.

Kejadian yang menimpa Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol, 16, itu menyebabkan ibunya, Hizanawati Abu Bakar, 49, tidak membuat sebarang persiapan raya selain tidak pulang bercuti ke kampung halaman.

Katanya, tragedi hitam yang menimpa anak lelakinya itu yang didakwa berpunca daripada gurauan rakan-rakan masih segar di ingatan biarpun peristiwa itu berlaku sejak lapan bulan lalu.

“Buat masa ini, saya masih belum mempunyai kekuatan dan semangat untuk beraya kerana masih merindui arwah.

“Jiwa saya akan meruntun apabila terbayang kenangan menyambut Aidilfitri bersama arwah yang sangat menggemari lontong dan rendang.

“Air mata ini juga menitis setiap kali melihat baju Melayu raya terakhirnya. Atas sebab itu, saya langsung tidak membeli pakaian raya atau balik ke kampung di Bota Kanan, Perak,” katanya sebak ketika ditemui di kediamannya di Bandar Puncak Alam, baru-baru ini.

Muhammad Damin Mikhail

Terdahulu, ibu tunggal itu disantuni Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Selangor, Mohammad Aliff Asyraf Azhari yang menyerahkan sumbangan bagi membantu meringankan bebannya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan kejadian menyayat hati itu berlaku pukul 2.38 petang pada 28 Ogos tahun lalu selepas jasad Muhammad Damin Mikhail ditemui dengan kesan melecur di dalam tandas berkenaan.

Tindakan dua rakan Allahyarham berusia 15 dan 16 tahun dipersoal kerana didakwa melakukan gurauan keterlaluan dengan bermain api sehingga meragut nyawa.

Jelas Hizanawati, dia pernah bermimpi melihat arwah yang berkemeja putih memeluknya sambil berpesan supaya tidak bimbang dan tersenyum.

“Biarpun pilu, kami sekeluarga reda dengan ketentuan Ilahi dan akan menziarah pusaranya pada Syawal nanti,” kata ibu kepada enam anak itu.

Tambah beliau, keluarga menyerahkan sepenuhnya kes berkenaan kepada polis yang masih menjalankan siasatan menyeluruh.

“Saya cuma inginkan keadilan sewajarnya kepada arwah yang pergi meninggalkan kami dalam sekelip mata,” katanya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI