fbpx

Dulu dia gelandangan, kini bekerja sebagai kerani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAKI lima dan bahu jalan menjadi lokasi gelandangan untuk tidur setiap hari.
ZULKIFLI MANZOR,
WARTAWAN EKSEKUTIF

Tahun lalu dilaporkan terdapat kira-kira 1,000 gelandangan berkeliaran di ibu negara tanpa diketahui faktor menjadikan mereka sebegitu.

Gelandangan sama ada lelaki dan wanita daripada pelbagai bangsa mudah dilihat di lokasi-lokasi tumpuan ramai di ibu kota hingga hari ini.

Mereka hidup dengan wang atau makanan yang diberi oleh orang ramai sebelum tidur di bahu-bahu jalan selepas keletihan berkelana.

Gelandangan dianggap salah satu masalah sosial dalam negara dengan sebahagian anggota masyarakat memandang mereka daripada perspektif buruk.

Kelibat gelandangan seumpama pengemis dilihat dengan citra negatif mengganggu ketertiban, keindahan, kesusilaan dan kebersihan.

Perihal gelandangan di ibu negara bukan baharu, sebaliknya telah berlaku sejak sekian lama, namun tampak sukar untuk ditamatkan.

Bagi mendalami isu gelanda­ngan di Malaysia, penulis me­nemu bual bekas gelandangan, Atirah, 32, yang kini menjalani kehidupan berbeza,

Wanita tersebut menceritakan pengalamannya dan suami menjadi gelandangan selama tujuh tahun gara-gara perkahwinan tidak direstui keluarga.

“Suami saya bekas askar dan banduan tidak dapat cari kerja. Saya dan suami dihalau keluar oleh keluarga. Selama tujuh tahun kami tidur di bawah jamba­tan dan kaki lima di Chow Kit.

“Jika dapat duit orang beri baru kami sewa bilik. Semasa mengandung anak pertama pun kami tidur bawah jambatan,” katanya yang kini menetap di Klang, Selangor.

Menurut Atirah, kehidupannya berubah hasil bantuan dan sokongan beberapa pihak termasuk Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (Empire Project).

Katanya, mereka keluar daripada status gelandangan selepas suaminya mendapat pekerjaan sebagai operator sebuah ladang sawit sebelum dinaikkan pangkat sebagai kerani di syarikat sama.

Pengasas Empire Project, Mohd. Ashraff Khan berkata, Atirah merupakan contoh gelanda­ngan boleh berubah jika dibantu untuk berubah.

Menurut beliau, gelandangan perlu dibantu bukan sahaja daripada sudut makanan atau kewangan, jauh lebih penting turut dibantu dalam aspek emosi.

“Sebahagian gelandangan boleh berubah jika mereka ­mendapat bantuan atau soko­ngan yang betul.

“Kewujudan gelandangan satu kerugian kepada negara kerana mereka ini mampu menjadi ­anggota masyarakat yang produktif,” katanya.

Pihak berwajib seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga sentiasa berusaha menaik taraf kehidupan gelandangan di ibu kota.

Pusat Transformasi Gelanda­ngan Anjung Kelana, Taman Desa dan Pusat Pembelajaran Komuniti Chow Kit antara kemudahan disediakan kepada mereka.

Latihan dan bimbingan berte­rusan seperti berkebun, melukis, kraf tangan, kemahiran bahasa, kerohanian dan pembangunan diri turut diberikan.

Kesimpulannya, gelandangan bukan suatu isu terpencil, tetapi ia perihal yang melibatkan ­keseluruhan sistem sedia ada untuk menanganinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI