WELLINGTON – Satu pertandingan memburu dan membunuh kucing liar untuk kanak-kanak dibatalkan di New Zealand selepas dibantah oleh orang ramai serta kumpulan kebajikan haiwan, lapor portal berita MailOnline semalam.
Pihak penganjur acara memburu tahunan North Canterbury itu menerima kecaman hebat apabila mengumumkan kategori baharu untuk kanak-kanak berumur bawah 14 tahun.
Pertandingan itu menawarkan hadiah wang tunai 250 dolar New Zealand (RM683). Kategori baharu itu diumumkan Sabtu lalu beserta peringatan agar peserta tidak membunuh kucing peliharaan.
Ia bagaimanapun dibatalkan selepas mendapat tentangan pelbagai pihak.
“Keselamatan penganjur dan sekolah adalah keutamaan kami. Justeru, keputusan telah dibuat untuk membatalkan kategori tersebut tahun ini bagi mengelak lebih banyak tentangan daripada orang ramai,” kata penganjur di laman Facebook.
Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) berkata, pihaknya menyambut baik dan lega apabila kategori kanak-kanak yang melibatkan pembunuhan kucing liar telah dibatalkan.
“Kanak-kanak sama seperti orang dewasa di mana mereka sukar untuk membezakan antara kucing liar, kucing jalanan atau kucing peliharaan yang ketakutan,” kata jurucakap SPCA.
Tambahnya, raifal udara kebiasaannya digunakan ketika berburu, yang membawa kepada proses kematian yang lebih lama serta meningkatkan penderitaan haiwan.
Sementara itu, seorang penduduk tempatan dikenali sebagai Bernie berkata, kategori baharu itu membuatkan dia berasa tidak selesa kerana peserta akan menembak sebanyak mana kucing yang boleh.
Ia akan membuatkan mereka menembak tanpa menentukan sama ada ia adalah kucing peliharaan atau sebaliknya.
Kucing liar dianggap haiwan perosak di New Zealand di mana ia memberi kesan besar terhadap burung tempatan, kelawar, cicak, tikus dan serangga, demikian menurut Jabatan Pemuliharaan. – Agensi