KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran ganja di sekitar Lembah Klang apabila menahan empat individu di sebuah kondominium di Cheras, di sini, Isnin lalu.
Sindiket yang telah beroperasi sejak November lalu, menjadikan kondominium mewah sebagai tempat penyimpanan dadah untuk menyukarkan daripada dikesan oleh pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, kesemua suspek memperolehi dadah daripada pembekal di ibu negara sebelum berurusan dengan pelanggan menerusi aplikasi media sosial, Telegram.
Menurut beliau, pada serbuan pertama, seorang lelaki warga tempatan berusia 26 tahun ditahan di lobi bersama 1 kilogram (kg) dadah.
“Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai dua rekod narkotik lampau dan lanjutan daripada serbuan itu, tiga lagi individu ditahan.
“Mereka terdiri daripada seorang lelaki berusia 43 tahun serta sepasang suami isteri masing-masing berusia 39 tahun dan 30 tahun di lokasi yang sama.
“Si suami juga mempunyai empat rekod jenayah dan kes dadah lampau manakala isterinya hanya seorang suri rumah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, hari ini.
Tambah Zam, kesemua mereka adalah warga tempatan serta tidak mempunyai sebarang pekerjaan tetap.
“Setelah menjalankan ujian urin, didapati dua daripada mereka adalah positif dadah,” katanya.
Keseluruhan dadah dengan berat lebih 42 kilogram bernilai RM130,944 dirampas bersama sebuah kereta jenis Perodua Alza, sebuah motosikal jenis Honda RS, seutas gelang emas dan wang tunai berjumlah RM200.
Kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa lalu hingga 24 April dan kes disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, untuk disiasat lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – KOSMO! ONLINE