PASIR PUTEH – Lima buah kedai runcit hangus dalam kejadian kebakaran di Cabang Tiga, Gaal di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 11.53 pagi itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh, Penolong Penguasa Bomba Azhar Elmi Mustofar berkata, seramai 21 pegawai dan anggota bomba bergegas ke lokasi kejadian dengan mendapat bantuan Bomba Sukarelawan Jertih, Terengganu.
Menurutnya, kebakaran itu melibatkan deretan kedai runcit jenis separa kekal dengan tiga buah kedai terbakar 100 peratus manakala dua lagi premis hangus 10 peratus sahaja.
“Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kejadian itu disedari pemilik premis sebelum mendapat pertolongan penduduk setempat.
“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya kira-kira pukul 2.15 petang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azhar berkata, punca kejadian dan taksiran kerugian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE