fbpx

Badrul Muhayat nikahi graduan universiti Liverpool

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BADRUL sengaja memilih hari pernikahan bertepatan tarikh ulang tahunnya yang ke-55 iaitu 18 April 2023 sebagai simbolik penyatuan mereka.

PETALING JAYA – Empat bulan mengenali hati budi, Badrul Muhayat nekad memperisterikan wanita pilihan hatinya, Norhayati Zulkapli di Masjid Al Hidayah, Sentul, di sini, semalam.

Kata pelakon popular era 90-an itu, dia sengaja memilih hari pernikahan bertepatan tarikh ulang tahunnya yang ke-55 iaitu 18 April 2023 sebagai simbolik penyatuan mereka.

“Pada usia ini saya hanya mengharapkan kebahagiaan bersama suri hati untuk sama-sama melayari pengembaraan kehidupan ini.

“Perkara yang baik tidak perlu ditangguhkan. Sebelum ini, kita semua berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kemudian anak-anak pula sudah mula bersekolah.

“Jadi, masa berlalu dengan pantas yang membuatkan kami membulatkan keputusan supaya menyegerakan majlis pernikahan dan hanya mengadakan resepsi selepas musim raya.

“Saya memilih tarikh lahir untuk diijabkabulkan juga sebagai satu simbolik permulaan hari kami kerana kita tidak tahu ajal dan maut ditambah pada usia sekarang,” katanya.

Ditanya mengenai identiti wanita yang berjaya mencuri hatinya, pelakon filem Harry Boy itu berjanji akan memperkenalkan isterinya pada majlis resepsi sekitar Jun atau Julai depan.

Kata Badrul atau nama lengkapnya Badrul Muhayat Ahmad Jailani, tiada niat untuk berahsia, sebaliknya buat masa ini cukup untuk dikongsikan isterinya adalah graduan Universiti of Liverpool, England.

“Insya-Allah saya akan memperkenalkan isteri kepada semua pada majlis persandingan kami nanti.

“Memang saya tak sangka pun orang dapat hidu pernikahan kami kerana saya tidak memuat naik sebarang gambar dalam media sosial.

“Saya tidak berniat merahsiakan majlis pernikahan disebabkan sudah ada perancangan ingin mengadakan majlis resepsi pada pertengahan tahun ini.

“Semua perkara mengenai isteri saya termasuk pertemuan pertama kami akan saya ceritakan pada majlis tersebut,” kongsinya lagi.

Terdahulu, Badrul pernah mendirikan rumah tangga sebanyak dua kali, namun kedua-dua ikatan itu berakhir dengan perpisahan.

Menerusi perkahwinan tersebut, dia dikurniakan dua cahaya mata berusia 14 dan 16 tahun yang kini tinggal bersama bekas isterinya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI