MENJELANG Aidilfitri, pasti terngiang-ngiang di telinga lagu Balik Kampung dendangan Allahyarham Sudirman Arshad.
Hari demi hari dihitung selari dengan terujanya hati untuk bertemu dengan orang-orang tersayang di kampung.
Bagaimanapun, perjalanan pulang ke kampung boleh bertukar kepada pengalaman buruk sekiranya tidak membuat persiapan sewajarnya.
Tekanan boleh timbul akibat kesesakan trafik, masalah kereta, tertinggal barang penting dan tidak cukup rehat.
Sempena raya ini, Horizon ingin berkongsi tip persiapan pulang ke kampung.
Persediaan untuk perjalanan lancar
Sekiranya memandu, pastikan segenap aspek kenderaan telah diperiksa dan berada dalam keadaan baik sebelum perjalanan dimulakan.
Antara aspek yang perlu dititikberatkan adalah tahap minyak enjin, keadaan tayar, lampu signal, bateri, brek pad, cecair penyejuk radiator (coolant) dan cecair pengelap cermin hadapan.
Bagi yang menaiki kenderaan awam, perhatian perlu diberikan pada masa perjalanan, nombor platform dan tempat duduk.
Pastikan anda meletakkan tiket pada tempat mudah dicapai ketika di terminal.
Checklist sebelum keluar rumah
Sebelum meninggalkan rumah, pastikan semua barang keperluan dan berharga sudah dimasukkan ke dalam kereta.
Pastikan kepala tong gas di dapur ditanggalkan serta setiap tingkap dan pintu rumah dikunci.
Jangan tinggalkan kunci pendua di bawah pasu, karpet atau mana-mana tempat yang boleh dicapai pencuri.
Rehat secukupnya
Jangan terburu-buru untuk sampai ke kampung, rehat secukupnya sebelum memulakan pemanduan.
Sekiranya pulang pada waktu malam, boleh sediakan kopi atau minuman tenaga sebagai inisiatif untuk kekal segar sepanjang jalan.
Jangan rasa ralat untuk berhenti berehat di mana-mana kawasan rehat dan rawat sekiranya mengantuk.
Sediakan playlist lagu
Muzik merupakan terapi yang boleh membuatkan pendengar berasa tenang dan bertenaga. Oleh itu, penyediaan lagu yang sesuai dengan jiwa dalam Spotify adalah penting ketika menghadapi perjalanan panjang.
Bagi mereka yang gemarkan perkara ilmiah, boleh sediakan podcast atau audiobook kegemaran untuk didengar sepanjang perjalanan.
Sediakan snek dan air kosong
Walaupun memulakan perjalanan pada siang hari, penting untuk membawa makanan ringan serta air mineral bersama.
Ini sebagai persediaan sekiranya tidak sempat tiba di kampung halaman sebelum waktu berbuka.
Antara potensi senario yang boleh diambil kira adalah terkandas dalam kesesakan lalu lintas atau berlaku penangguhan perjalanan.