fbpx

Bercuti sambil lakukan aktiviti di sawah padi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA penginap berpeluang menaiki ATV menjelajah kawasan sawah padi di sekitar Sabak Bernam, Selangor.

SEINDAH lirik lagu Desa Tercinta lantunan Nora dalam menggambarkan suasana kampung, begitu juga indahnya keadaan di sekeliling Nazbell Cottage and Garden (Nazbell) di Sungai Besar,

Sabak Bernam, Selangor.

Inap desa berwarna putih berkonsepkan English cottage tersebut menyerlah di tengah-tengah kehijauan padi dan kebiruan langit sebagai latar belakang.

Uniknya, pakej percutian di inap desa itu berubah-ubah mengikut musim sawah padi, sekali gus menjanjikan pengalaman berbeza kepada para pengunjung.

Pemilik inap desa Nazbell, Nabila Shafry berkata, perubahan pakej mengikut musim itu membolehkan pengunjung merasai pengalaman tinggal di kampung sawah padi sebenar.

“Pakej-pakej yang kami sediakan ini diusahakan oleh komuniti dengan kerjasama Sungai Panjang Agro Tourism Sdn. Bhd.

“Kita ada aktiviti mengagau ikan, berbasikal, kraf tangan, naik trem, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV), melawat pelbagai jenis industri kecil sederhana serta kebun buah dan sayur.

“Pada musim menanam padi, pengunjung boleh naik mesin bajak tanah sawah dan merasai pengalaman tanam padi.

“Sementara itu, pada musim menuai, mereka boleh naik mesin padi.

“Pengunjung juga boleh ikut kami pergi jual hasil tuaian padi,” ujar Nabila yang mengusahakan inap desa itu bersama suaminya.

Dari segi penginapan pula, Nazbell menyediakan tiga jenis bilik mengikut saiz berbeza buat pengunjung.

Penginap boleh menjamah sarapan sambil menikmati keindahan sawah padi menghijau.

Ini menjadikan inap desa tersebut sesuai untuk percutian keluarga, bulan madu serta solo.

Setiap bilik dilengkapi dengan televisyen skrin rata, pendingin hawa, peralatan mandi, tempat menggosok baju, telekung serta katil.

Bagi bilik keluarga, penginap boleh minta tilam tambahan untuk diletakkan di hadapan katil mereka sekiranya perlu.

Selain itu, penginap boleh berendam dalam kolam renang, duduk bersantai di anjung rumah tradisional Perlis sambil menikmati juadah dengan ditemani angin sawah padi.

Tambah Nabila, tempahan inap desanya sentiasa dipenuhi oleh pengunjung dari pelbagai negara yang mahu merasai suasana kampung, tetapi tidak jauh dari ibu kota.

“Kami masih lagi berada dalam kawasan Selangor.

“Jadi, tidak begitu jauh dari Kuala Lumpur sekiranya dibandingkan dengan kawasan sawah padi di negeri-negeri lain.

“Kami banyak menerima penginap dari luar negara seperti Singapura, Maldives dan Australia yang mahu merasai sendiri pengalaman desa sebenar di Malaysia,” ujarnya.

Harga bilik penginapan di Nazbell bermula RM200 semalam.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman Facebook, Nazbell Cottage and Garden.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI