fbpx

Rumah Aidilfitri tak siap, ditipu kontraktor lebih RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zainol (depan) menunjukkan laporan polis sambil ditemani adik iparnya, Mohd. Azahari di Taman Sri Andalas, Klang.

KLANG – Impian sebuah keluarga mendiami ‘rumah baharu’ pada Aidilfitri ini bukan sahaja tidak kesampaian malah wang baik pulih kediaman itu lesap ditangan kontraktor yang dilantik.

Semuanya bermula apabila menggunakan khidmat kontraktor berasal Kelantan pada Oktober tahun lalu dan telah membayar sebanyak RM205,800 dengan dijanjikan siap antara bulan April hingga Jun ini.

Mangsa, Zainol D’zul Hafiz Zainal, 36, berkata, syarikat itu diperkenalkan adik iparnya yang turut menggunakan khdimat syarikat itu bagi pembinaan rumahnya.

Katanya, syarikat kontraktor kemudiannya telah merobohkan rumah ini dengan alasan mendapat kelulusan MPK.

“Rumah ini dibeli pada 1987 dan kontraktor tersebut diupah selepas terdapat keretakan pada bahagian belakang rumah.

“Mereka (kontraktor) datang robohkan semua bangunan rumah dan sebelum memberhentikan kerja seminggu selepas itu dengan pelbagai alasan diberi termasuk tiada pekerja,” katanya ketika ditemui pemberita di Taman Sri Andalas semalam.

Curiga dengan situasi itu, Zainol D’zul yang merupakan ahli perniagaan membuat pemeriksaan dengan MPK dan mendapati pelan itu tidak pernah dihantar oleh syarikat kontraktor itu.

Kata Zainol D’zul itu, desakan dilakukan terhadap syarikat kontraktor itu dengan mereka berjanji membayar balik pada Januari tahun ini.

“Paling akhir, komunikasi bersama dua bulan lalu dan mengugut tidak akan membayar sehingga kami menurunkan posting di Facebook berhubung kronologi penipuan mereka.

“Hasil posting itu, beberapa individu turut mendakwa telah ditipu kontraktor sama dengan bayaran antara RM100,000 hingga RM1 juta,” ujarnya.

Jelasnya, perbuatan kontraktor itu turut menyebabkan pihaknya menerima notis saman dari MPK kerana melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan sejak Februari lalu.

“Bukan sahaja kami ditipu, malah adik ipar, Mohd. Azahari Ahmad, 33, turut menerima nasib sama dan laporan polis telah dibuat pada 8 April lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

“Malah,kami juga terpaksa mengupah kontraktor baharu supaya rumah ini dapat dibina semula,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI