fbpx

Aktiviti merempit di P. Pinang sekadar seronok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masih terdapat individu yang didapati merempit untuk tujuan berseronok di lokasi-lokasi panas di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Polis Pulau Pinang menahan seramai 76 pelesit rempit sekali gus mengeluarkan sebanyak 5,009 saman dalam 206 operasi yang dijalankan di seluruh daerah negeri ini sejak September tahun lalu sehingga 31 Mac lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini terdapat beberapa lokasi panas yang dikesan kerap dijadikan tempat berlumba dan pihak polis sentiasa melaksanakan operasi berterusan di kawasan tersebut dalam usaha banteras kegiatan pelesit rempit.

“Hasil daripada penguatkuasaan dan pencegahan yang berterusan dijalankan pihak polis bersama agensi penguatkuasaan yang lain sejak Julai tahun lalu, kita mendapati aktiviti samseng jalanan menunjukkan trend penurunan.

“Namun, masih ada individu yang didapati merempit untuk tujuan berseronok dan tindakan telah diambil kepada individu-individu tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini hari ini.

Terdahulu, Mohd. Shuhaily mempengerusikan mesyuarat perancangan strategi memerangi lumba haram dan mat rempit peringkat Kontinjen Pulau Pinang bersama beberapa jabatan dan agensi di IPD Timur Laut.

Dalam pada itu, menurut Mohd. Shuhaily, pihaknya yang bermesyuarat untuk memerangi aktiviti lumba haram hari ini merumuskan peranan jawatankuasa pencegahan dan penguatkuasaan perlu diteruskan serta dipertingkatkan dengan menambah baik beberapa perkara.

“Semua pihak yang bermesyuarat bersetuju agar pihak berkuasa menambah baik prosedur dan hukuman di bawah Seksyen 81(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 supaya tindakan lebih ketat dikenakan kepada mat rempit dan penggubalan undang-undang khusus ke atas ibu bapa, penjaga (pesalah samseng jalanan) dan penonton.

“Cadangan kami adalah menaikkan kadar hukuman saman ke atas pengubahsuaian motosikal dan mengubal undang-undang supaya tindakan boleh diambil ke atas bengkel pengubahsuaian komponen, struktur dan asas kepada kenderaan,” jelasnya.

Tambahnya, semua cadangan dalam mesyuarat itu akan diserahkan kepada pihak atasan iaitu pembuat dasar di Putrajaya dan seterusnya dibawa ke peringkat Parlimen untuk menguatkuasakannya supaya tindakan tegas dapat diambil ke atas pelesit rempit. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI