SEBERANG PERAI – Sebanyak 11 buah motosikal disita hanya tempoh dua jam operasi sempena Hari Raya Aidilfitri atau Ops HRA oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang hari ini.
Pengarah JPJ negeri, Adenan Md. Isa berkata, operasi yang dijalankan di lorong motosikal berhampiran Jambatan Pulau Pinang itu bermula seawal 9 pagi dengan kehadiran kira-kira 20 anggota.
Menurutnya, kesemua 11 motosikal itu termasuk yang ditunggang oleh beberapa warga asing disita atas dua kesalahan utama iaitu penunggangnya tidak memiliki lesen memandu dan lesen kenderaan motor (LKM) atau cukai jalan serta insurans yang tamat tempoh.
“Sebenarnya, kita tahan penunggang-penunggang motosikal ini dengan tujuan untuk memberhentikan kesalahan mereka. Jadi, apabila mahu menuntut semula motosikal (yang disita), mereka terpaksa perbaharui cukai jalan dan perlu mempunyai lesen memandu (yang sah),” katanya kepada pemberita ketika meninjau Ops HRA tersebut.
Dalam pada itu katanya, JPJ memberi tumpuan terhadap sembilan kesalahan utama dalam Ops HRA termasuk yang turut melibatkan kenderaan lain seperti kereta persendirian dan sebagainya.
Beliau berkata, antara kesalahan itu termasuklah memandu melebihi had laju, tidak mematuhi isyarat lalu lintas (melanggar lampu merah), memotong di garisan berkembar dan memandu di lorong kecemasan.
“Untuk kesalahan seperti penggunaan telefon bimbit ketika memandu, memang sentiasa ada penguatkuasaan dan dalam hal ini, JPJ turut membuat penyamaran bagi mengesan pengguna kenderaan yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“InsyaAllah, selepas Aidilfitri nanti kita akan tingkatkan penguatkuasaan termasuk berkaitan cermin gelap kerana kita percaya bahawa salah satu punca kita sukar mengesan pemandu kenderaan yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu adalah disebabkan oleh penggunaan cermin gelap,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, pihaknya hanya memfokuskan motosikal untuk sekatan jalan raya atau SJR ketika ini khususnya di lorong khas seperti berhampiran plaza tol bagi mengelakkan kesesakan. – KOSMO! ONLINE