SEBERANG PERAI – Seorang pengurus teknologi maklumat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini atas dua pertuduhan menyalah guna jawatan bagi mendapatkan suapan membabitkan kontrak bernilai RM415,397 tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Aziedy Abdul Talib, 42, walau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut pertuduhan pertama, Aziedy yang ketika itu Ketua Pegawai Operasi memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif di Mutiara.Com Sdn. Bhd. telah menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan apabila meluluskan syarikat ATR Resources Enterprise milik adiknya sebagai pembekal peralatan kamera litar tertutup (CCTV) bagi projek Pangsapuri Seri Bayu bernilai RM223,586.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan bagi adik kandungnya apabila meluluskan syarikat sama bagi pemasangan interkom projek pangsapuri sama bernilai RM191,811.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat Mutiara.Com Sdn. Bhd., Tingkat 14 Menara UMNO, Jalan Macalister pada 4 Februari dan 14 Jun 2016.
Bagi kedua-dua pertuduhan, Aziedy didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah 24(1) akta sama.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkifli memohon tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam bela Arafas Abd Razak memohon jaminan minimum dikenakan anak guamnya atas faktor terpaksa menanggung ibu bapa yang sakit tua selain perlu menyara isteri, dua anak dan seorang adik.
Selain itu, tertuduh juga baharu sahaja bekerja sebagai pengurus IT dengan pendapatan bulanan berjumlah RM7,500.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk kedua-dua pertuduhan selain perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri ke pejabat SPRM setiap bulan.
Tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan sehingga kes selesai. Tarikh sebutan kes seterusnya ditetapkan 30 Mei ini. – KOSMO! ONLINE