KOTA TINGGI – Labur modal RM10,000 jual biskut raya, namun untung masih belum dapat pada minggu akhir Ramadan ini.
Seorang peniaga, Faezah Tumiron, 39 berkata, berbeza dengan tahun sebelumnya, stok kuih raya akan habis dua minggu sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri, namun kali ini situasi amat berlainan.
Katanya, sasaran untuk meraih lebih ramai pelanggan pada tahun ini susulan Covid-19 yang telah reda ternyata meleset.
“Tahun lepas dua minggu puasa kuih sudah habis dan kita sudah sibuk untuk buat adunan seterusnya, pelanggan juga berpusu-pusu mahukan kuih raya. Setiap minggu kita masuk stok kuih memang jarang jumpa rak yang penuh.
“Tetapi tahun ini jualan amat perlahan, memang kita dapat lihat situasi ini berlaku bukan kepada saya sahaja kepada rakan-rakan lain yang menjual kuih raya.
“Saya berhabis RM10,000 untuk kuih raya tahun ini, namun keuntungan seperti tahun sudah masih belum kita perolehi,” katanya ketika ditemui di kedainya kelmarin.
Faezah berkata, dia yang turut menjual kerepek juga terpaksa mengurangkan kuantiti ekoran harga bahan mentah yang naik mendadak 100 peratus.
Katanya seperti kerepek pisang tanduk, setiap tahun dia akan memperoses sehingga 400 kilogram, namun tahun ini hanya 100 kilogram sahaja.
Jelasnya, bagi menghabiskan kuih raya yang sedia ada di kedai dia turut menawarkan jualan lelong menjelang beberapa hari ketibaan Syawal.
“Setiap tahun memang kita akan buat lelong kuih raya. Tahun ini pun kita buat juga dan walaupun kita tawarkan pada harga lelong jualan turut masih perlahan.
“Kita faham kuasa membeli orang ramai tahun ini amat berkurangan. Tambahan pula banyak telah dilabur untuk sesi persekolahan.
“Saya cuma berharap baki kuih yang ada ini dapat dijual dan dihabiskan kita tidak mahu simpan stok kuih. Oleh sebab itu kita tawar harga rendah agar orang ramai boleh membeli dan meraikan Syawal dengan juadah kuih raya,” katanya.