fbpx

Kasih suami setia jaga isteri kudung, buta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rohaizad (kanan) memberi Nik Noor Saliza ubat kencing manis di rumah mereka di Kampung Kala, Gua Musang sebelum keluar bekerja.

GUA MUSANG – Berat mata memandang, berat lagi bahu seorang buruh memikulnya apabila dia perlu menumpukan sepenuh perhatian menjaga suri hatinya yang kudung dan buta akibat penyakit kencing manis sejak setahun lalu.

Rohaizad Che Soh, 45, berkata, isterinya, Nik Noor Saliza Mohd. Yusof, 34, terpaksa mengharapkan bantuannya untuk menguruskan diri dan keperluan harian selepas kedua-dua belah mata wanita itu buta akibat penyakit kencing manis yang dideritainya lebih 10 tahun lalu.

Katanya, kaki kanan isterinya dipotong kerana penyakit tersebut enam tahun lalu.

“Selain penyakit kencing manis, isteri saya juga mempunyai penyakit buah pinggang dan kini perlu menjalani rawatan dialisis.

“Saya akan bangun pada awal pagi setiap hari untuk menguruskan segala keperluan isteri termasuk memberinya ubat yang dibekalkan doktor sebelum keluar bekerja,” katanya.

Rohaizad berkata, dia dan isteri perlu ke Hospital Gua Musang tiga kali seminggu yang terletak hampir 40 kilometer bagi mendapatkan rawatan dialisis.

“Kesihatan isteri merupakan keutamaan dan terpaksa me­ninggalkan kerja-kerja lain bagi membolehkan dia mendapat rawatan sepatutnya,” ujarnya.

Rohaizad memberitahu, jika dia tiada di rumah, ibu dan anak perempuannya akan menjaga isteri jika ingin ke tandas atau memberi makan dan minum.

Dia yang mempunyai dua anak tiri berusia 10 dan 14 tahun berkata, dengan pendapatan yang tidak menentu sebagai buruh kampung, dia juga terputus sumber kewangan ketika ini.

Katanya, dia bersyukur apabila isterinya mendapat bantuan wang Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

“Pendapatan saya tidak menentu kerana menerima gaji berdasarkan upah yang diterima seperti memotong rumput, ­bersihkan kebun dan membaiki rumah.

“Upah yang diterima hanya cukup makan dan ada kalanya terpaksa mengharapkan ihsan ibu yang tinggal di sebelah rumah untuk makan,” katanya.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menghubungi Rohaizad di talian 010-394 7647 atau melalui akaun Bank Islam milik Nik Noor Saliza, 03063020353900.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI