PETALING JAYA – Pengendali takaful keluarga, Great Eastern Takaful Berhad (GETB) menyantuni golongan yang kurang bernasib baik menerusi program GREAT Ramadan, semalam.
Dalam program tersebut, seramai 120 anak yatim dan asnaf daripada Pertubuhan Kebajikan Ulul Azmi dan Pertubuhan Kebajikan Islam Peribadi Mulia, diraikan.
Dengan kerjasama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), mereka dibawa membeli-belah pakaian baharu serta barangan keperluan rumah dan penjagaan diri.
Mereka diiringi oleh 30 sukarelawan yang terdiri daripada warga kerja Great Eastern Takaful.
Ketua Pegawai Eksekutif Great Eastern Takaful, Shahrul Azlan Shahriman berkata, program itu bertujuan untuk menggembirakan golongan yang kurang bernasib baik menyambut Aidilfitri.
“Kami berbesar hati untuk santuni golongan ini. Kegembiraan yang terpancar di wajah mereka bertepatan dengan misi kami untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Semoga hari raya mereka tahun ini lebih meriah dengan pakaian dan kelengkapan baharu termasuk sumbangan tunai untuk menambah baik penempatan mereka,” katanya.
Penghuni rumah kebajikan tersebut turut menyertai program Grand Iftar bersama hampir 1000 perunding takaful cemerlang di Masjid Wilayah Kuala Lumpur. – KOSMO! ONLINE