fbpx

Rohana Jalil masuk ICU, sempat penuhi janji hiburkan peminat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ROHANA Jalil dilaporkan sedang kritikal dalam wad ICU ketika ini.

PETALING JAYA – Masalah kesihatan penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil yang dilaporkan kritikal namun sudah sedarkan diri di Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital mengejutkan banyak pihak.

Sahabat baiknya, pelakonJaafar Onn antara yang terkesan dengan berita tersebut memaklumkan beberapa hari , penyanyi Rayuanku itu sempat muncul menghiburkan peminat dengan empat buah lagu ketika menjayakan undangan persembahan di Plaza Shah Alam, pada Ahad lalu.

Katanya, penyanyi itu datang dipimpin ahli keluarganya ada mengadu sakit perut namun tetap bersemangat menunaikan janji kepada penganjur untuk menghiburkan pengunjung.

“Kelmarin saya bersama Rohana diundang menjayakan persembahan, tetapi apabila melihat keadaannya yang kurang bermaya saya bertanyakan semula sama ada dia boleh menyanyi.

“Dia kata okey, cuma sakit perut. Kami bawakan empat dendangan, malah dalam situasi tidak bermaya itu dia terus menyanyi sambil berdiri sehingga ketika lagu keempat.

“Sewaktu persembahan lagu akhir itu tiba-tiba dia terus duduk. Masa itu anak dan pembantu peribadinya terus papah dia bawa pulang.

“Terkejut apabila dapat berita Rohana masuk ICU sebab bulan lepas kami ada berjumpa untuk persembahan lain, nampak dia sihat,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurut selebriti senior itu lagi, biarpun mempunyai reputasi yang baik dan kerap diundang menjayakan persembahan hingga ke Brunei, Bintang RTM 1980 itu tidak pernah berkira soal harga.

Malah katanya, Rohana antara penghibur yang paling mudah memberikan kerjasama membuatkannya suka mengundang penyanyi Rayuanku itu dalam persembahan pentas.

Cuma dari segi peribadi, dia seorang insan yang agak perahsia terutama membabitkan isu kesihatan walaupun kepada Jaafar yang turut mempunyai pertalian saudara.

“Sebenarnya saya dengan Rohana bersaudara selain kerap tampil bersama-sama tetapi kalau soal peribadi memang tiada sampai bercerita.

“Apa yang saya tengok sudah lama dia berdiet dan cukup menjaga pengambilan makanan. Apa pun kita doakan semoga Rohana cepat sembuh.

“Selepas dimaklumkan dia dimasukkan ke ICU, saya ada hubungi anaknya, Kilafairy. Belum ada jawapan Rohana sakit apa,” katanya lagi.

Pagi tadi Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil, 68, dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke ICU di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Bagaimanapun penyakit atau punca beliau dimasukkan ke hospital itu sejak semalam belum dikongsikan keluarganya.

Usaha Kosmo! Online mendapatkan anaknya yang juga pelakon, Kilafairy untuk mendapatkan perkembangan lanjut tidak berhasil.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI