KUALA LUMPUR – Seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan khianat membakar motosikal dan skuter elektrik di Suria KLCC minggu lalu.
Bagaimanapun tertuduh Azril Kamarunzaman, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.
Mengikut pertuduhan, Azril didakwa telah melakukan khianat dengan membakar 11 buah motosikal dan empat buah skuter elektrik di parkir motosikal hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang di sini pukul 3.30 petang pada 13 April lalu.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan maksimum 14 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun peguam Muhamad Ridzuan Umar yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan penjamin adalah isteri anak guamnya yang mempunyai tanggungan keluarga.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.
Tarikh 22 Mei ini ditetapkan untuk sebutan semula kes.
Kosmo! pada 14 April lalu melaporkan polis menahan seorang lelaki disyaki terlibat dalam kejadian membakar 13 motosikal dan empat skuter elektrik di sebuah kawasan parkir terbuka di hadapan Suria KLCC, di sini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, suspek berusia 34 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi selepas beberapa jam kejadian itu berlaku.
Menurut Noor Dellhan, sebelum suspek ditahan, bahagian Siasatan Jenayah IPD Dang Wangi telah menerima satu laporan polis berkaitan kejadian kebakaran membabitkan motosikal yang berlaku di ruangan parkir Suria KLCC, Jalan Ampang.
“Siasatan awal yang dijalankan mendapati kejadian tersebut membabitkan 13 buah motosikal dan empat skuter elektrik yang mana kebakaran telah berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya.
Ujarnya, hasil tangkapan itu pihak polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda RS, serangkai kunci motosikal, sehelai baju dan sehelai seluar, sepasang sarung tangan, satu beg, sebuah jam tangan dan satu pemetik api.
Berikutan itu, polis kemudian telah membuka kertas siasatan membabitkan kejadian kebakaran tersebut di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan dan suspek kemudian telah direman selama enam hari.
Polis turut mengesahkan sehingga kini pihaknya menerima sebanyak 10 laporan berhubung kejadian tersebut dan motif serta punca kejadian masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE