fbpx

Pendaftaran Pejuang belum selesai, guna lambang parti dilarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia.

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menjelaskan permohonan pendaftaran Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) masih di peringkat penelitian dan semakan.

JPPM menerusi satu kenyataan berkata, semakan rekod jabatan menerusi sistem eROSES sehingga 29 Oktober lalu mendapati, permohonan pendaftaran Pejuang belum diselesaikan sepenuhnya.

Menurutnya, pihak jawatankuasa penaja parti itu diminta untuk berhubung dengan JPPM bagi menyelesaikan urusan permohonan pendaftaran tersebut.

“Jawatankuasa penaja telah dimaklumkan mengenai keperluan pendaftaran yang lengkap melalui sistem sebelum pertimbangan sewajarnya dilakukan.

“Kami ambil maklum mengenai kenyataan akhbar oleh Pejuang bertarikh 29 Oktober lalu mengenai ‘Pejuang Desak Keputusan Segera dan Jelas Dari Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM)’,” katanya di sini hari ini.

Kenyataan itu memberitahu, dakwaan dibuat Pejuang kononnya belum ada tanda-tanda parti itu diluluskan setelah dua bulan permohonan diserahkan juga adalah tidak berasas sama sekali.

Katanya, dakwaan itu tidak wajar kerana jawatankuasa penaja Parti telah beberapa kali mengadakan perbincangan bersama JPPM bagi tujuan semakan dan mendapatkan pandangan mengenai tindakan lanjut yang perlu diambil terhadap permohonan tersebut.

“Malah, perbincangan itu turut dinyatakan sendiri oleh Parti Pejuang dalam kronologi kenyataan akhbar mereka bertarikh 29 Oktober lalu.

“Seperti dimaklumkan kepada jawatankuasa penaja parti bahawa semakan terperinci hendaklah dilakukan pada setiap permohonan termasuk dokumentasi terutamanya Perlembagaan yang merupakan rujukan utama sesebuah pertubuhan berdaftar,” katanya.

JPPM sebagai sebuah jabatan yang menguatkuasakan Akta Pertubuhan 1966 [Akta 335] dan mengawal selia semua pertubuhan berdaftar menegaskan agar jawatankuasa penaja parti tidak menggunakan logo, lambang serta simbol sehingga pertubuhan itu didaftarkan secara sah di bawah Akta 335. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI