KUANTAN – Kerajaan Persekutuan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM400 juta bagi membaik pulih dan menyelenggara jalan di negeri ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan terbabit adalah sebahagian daripada RM5 bilion peruntukan tahunan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) untuk penyelenggaraan jalan negeri.
“Kerajaan Pahang telah memohon untuk kelonggaran syarat peruntukan MARRIS seperti membolehkan pembelian jambatan Bailey bagi kawasan jambatan yang terjejas akibat banjir
“Saya terus mengarahkan Kementerian Kewangan untuk meluluskan kelonggaran tersebut dan akan terus membantu Kerajaan Negeri untuk mengoptimakan pemberian yang disalurkan serta menyokong usaha membaikpulih kemudahan awam yang terkesan akibat banjir,k” atanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Pahang di Dewan Utama Majlis Bandaraya Kuantan di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, kerajaan turut menambah peruntukan untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan bagi tahun 2023 daripada RM750 juta kepada RM1 bilion.
Katanya, tumpuan akan diberikan kepada membaik pulih jalan berlubang dan yang dirosak banjir serta peruntukan tambahan ini akan diagihkan sepenuhnya untuk dilaksanakan oleh kontraktor kecil Bumiputera.
Dalam pada itu beliau berkata, bermula Disember tahun lalu sehingga Mac tahun ini, hasil kutipan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menunjukkan lonjakan membolehkan kerajaan Persekutuan mengumumkan peruntukan tambahan bagi seluruh negara termasuk negeri Pahang.
“Hasil kutipan itu melonjak naik dan disebabkan itu saya boleh umumkan peruntukan tambahan ini termasuklah untuk negeri Pahang.
“Tapi saya tumpu sekolah daif, klinik daif, jalan berlubang dan kuarters kakitangan kerajaan di mana untuk membaikpulih kuarters kerajaan, peruntukan RM1 bilion disediakan,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE