SEBERANG PERAI – Seorang lelaki bukan sahaja berhati kering kerana memandu treler sambil melakukan pelbagai kesalahan jalan raya, bahkan berani menghalang tugas anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ketika ditahan di Perai sini hari ini.
Pemandu lelaki berusia 45 tahun itu bagaimanapun ditahan polis selepas menerima aduan berikutan dia enggan memberi kerjasama ketika cuba diperiksa anggota JPJ kira-kira pukul 9.10 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, pemandu lori itu dilaporkan enggan memberhentikan trelernya ketika diarahkan berbuat demikian di satu persimpangan lampu isyarat kerana didapati lebih muatan.
“Lelaki itu terus memandu dalam keadaan merbahaya ke kiri dan ke kanan jalan sambil menggunakan telefon bimbit serta hampir menghimpit kenderaan JPJ yang mengekori.
“Ketika tiba di kawasan Lorong Perusahaan Perai 12, treler itu telah bergesel dengan sebuah kenderaan JPJ lain yang menyebabkan kerosakan pada sebelah kiri.
“Pemandu itu telah diarahkan supaya turun, namun dia berdegil sehinggalah tidak lama kemudian baru dia menyerahkan lesen dan kad pengenalan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Shafee berkata, siasatan pihaknya mendapati pemandu itu enggan memberhentikan treler kerana melakukan kesalahan membawa muatan besi berlebihan selain telah menyebabkan kerosakan pada kenderaan JPJ.
“Semakan mendapati treler itu didaftarkan atas nama sebuah syarikat beralamat di Gurun, Kedah.
“JPJ turut mengeluarkan lima saman kerana cukai tamat tempoh, tiada insurans, tiada pemeriksaan kenderaan berkomputer (Puspakom), tidak menyelenggara tayar dan lebih muatan,” katanya lagi.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, tular di media sosial satu video yang memaparkan kira-kira enam anggota JPJ yang sedang bertugas cuba memujuk pemandu itu.
Difahamkan rakaman oleh orang awam itu dibuat ketika anggota JPJ berjaya memberhentikan treler tersebut, namun pemandu dilihat enggan memberikan kerjasama. – K! ONLINE