GEORGE TOWN – Lokasi pengemis bermusim yang menjadikan kaki lima rumah kedai dan pekarangan luar Masjid Kapitan Keling di sini sebagai tempat wajib mengutip duit raya diserbu pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kelmarin.
Serbuan itu dipercayai susulan laporan Kosmo! kelmarin mengenai kehadiran lebih 50 pengemis di hujung minggu, sejak awal Ramadan lalu.
Seorang penduduk, Mohamed Rizdwan Abdul Ghafoor Khan berkata, kehadiran kira-kira 10 kakitangan JKM di lokasi tumpuan pengemis berkenaan dilihat sekitar pukul 5.30 petang.
“Kelihatan pengemis berlari lintang-pukang sebaik mereka menyedari kehadiran pihak JKM dengan ada antaranya lengkap mengenakan baju korporat.
“Tidak pasti ada tangkapan mahupun tidak semalam (kelmarin)
“Seperti yang diketahui, kehadiran pengemis bermusim ini akan datang selepas waktu berbuka puasa sehingga ke awal pagi keesokkannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Mohamed Rizdwan memberitahu, jumlah pengemis bermusim akan menjadi lebih berganda pada malam tujuh likur sementara yang tinggal jauh dikatakan akan pulang ke rumah sehari lebih awal bagi membuat persiapan Aidilfitri.
“Selepas bermalam pada malam 27 Ramadan di hadapan masjid, sebelah pagi pula mereka akan pergi ke setiap kedai di Jalan Masjid Kapitan Keling untuk meminta sedekah pula.
“Ini dikatakan sudah menjadi aktiviti tahunan mereka. Kami penduduk di sini yang terpaksa hadap dengan sampah-sarap yang dilonggok di tong sampah dekat pekarangan bawah rumah,” jelasnya.