SHAH ALAM – Kerajaan Selangor memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk kerja-kerja membendung dan mencegah penularan wabak denggi di negeri ini pada tahun hadapan.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peruntukan itu melibatkan aktiviti-aktiviti kawalan dan pencegahan denggi di seluruh negeri ini.
“Kerajaan negeri memandang serius wabak berkenaan ekoran telah meragut sekurang-kurangnya 34 nyawa sejak Januari hingga 23 Ogos lalu.
“Dalam kesibukan menyelesaikan permasalahan wabak Covid-19, ancaman wabak denggi sentiasa dipandang serius,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2021 di sini hari ini.
Untuk rekod, statistik dikeluarkan menerusi laman idengue.arsm.gov.my, Selangor kekal sebagai negeri yang mencatatkan kes denggi tertinggi bagi tempoh 29 Disember tahun lalu sehingga 8 Februari lepas apabila merekodkan kes sebanyak 11,338.
Pada masa sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua itu turut mengumumkan peruntukan untuk kesihatan sebanyak RM56.5 juta bagi melahirkan individu, keluarga dan masyarakat yang progresif.
“Ini adalah manifestasi komitmen kerajaan negeri bagi memperkasa sektor kesihatan awam dan mewujudkan Selangor yang sihat dan sejahtera.
“Jumlah peruntukan ini mencatat peningkatan 23 peratus berbanding peruntukan bagi kesihatan dalam belanjawan lalu iaitu sebanyak RM46 juta,” ujarnya.
Dalam pada itu, dalam pembentangan itu juga, Amirudin turut menyatakan sebanyak RM1.5 juta bagi aktiviti dan promosi gaya hidup sihat di seluruh Selangor dalam usaha mengatasi masalah berat badan berlebihan atau obes dalam kalangan rakyat.
“Berdasarkan tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 menunjukkan bahawa seramai 1.7 juta rakyat negara ini atau bersamaan 8.1 peratus mempunyai tiga risiko utama penyakit kardiovaskular iaitu diabetes, hipertensi dan kadar kolesterol yang tinggi.
“Malah, dalam mengekang penularan penyakit berbahaya tibi pula, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta bagi meneruskan program Insentif Rawatan Tibi pada tahun depan dengan menyasarkan seramai 2,500 orang pesakit,” jelasnya. -K!ONLINE