BESUT – Ribuan mangsa banjir di daerah ini kecewa masih belum memperoleh bantuan banjir berjumlah RM1,000 yang dijanjikan kerajaan Terengganu sejak lebih empat bulan lalu.
Tambah mengecewakan mereka, Besut yang paling teruk terjejas dengan bah musim tengkujuh hujung tahun lalu bagaikan tercicir, sedangkan semua mangsa banjir di tujuh daerah lain sudah memperolehnya baru-baru ini.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Nurul, 39, berkata, dia dan rakan sekampungnya amat berkecil hati seakan-akan terpinggir dalam pengagihan bantuan banjir tersebut.
“Wang RM1,000 itu amat besar buat kami yang tinggal sehelai sepinggang akibat banjir besar melanda Kampung La pada Disember tahun lalu.
“Apatah lagi Hari Raya Aidilfitri bakal disambut beberapa hari sahaja lagi. Jujur, saya sekeluarga tidak membuat apa-apa persiapan lagi ekoran kesempitan wang,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Nurul berkata, dia dan suaminya memang merancang untuk menggunakan sebahagian wang bantuan banjir terbabit untuk membeli pakaian raya anak-anak mereka.
Seorang lagi mangsa banjir yang mahu dikenali sebagai Mu’az, 43, pula berharap, kerajaan negeri lebih cakna dengan masalah yang mereka hadapi ketika ini.
“Sudah lama kami ternanti-nanti, sepatutnya (bantuan banjir) diperoleh pada Februari lalu, tetapi telah ditangguhkan beberapa kali dengan alasan mahu melakukan pemutihan (permohonan).
“Kini saya dapat tahu agihan sudah dilakukan di semua daerah-daerah lain baru-baru ini kecuali Besut,” katanya.
Seorang lagi mangsa banjir, Zainal, 51 pula mendakwa, dia terdengar desas-desus bantuan banjir bagi mangsa di daerah ini hanya akan dilunaskan selepas kerajaan negeri menerima dana khas daripada kerajaan Persekutuan.
“Terkejut saya, takkan semasa umum pada bulan Disember lalu, kerajaan negeri tidak sediakan sebarang peruntukan khas untuk bantuan ini.
“Saya benar-benar berharap agar luahan kami ini mendapat perhatian kerajaan negeri,” katanya.