fbpx

RM200 juta bendung masalah pencemaran air berulang di Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Kerajaan negeri memperuntukkan RM200 juta dalam empat projek membendung masalah pencemaran air berulang di negeri ini yang boleh menyebabkan henti tugas di enam Loji Rawatan Air (LRA) sehingga 1.6 juta pemegang akaunnya terpaksa berdepan gangguan bekalan air tidak berjadual.

Enam LRA itu adalah Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3, LRA Rantau Panjang dan LRA Semenyih 1 dan 2.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini termasuk melaksanakan projek pengepaman air mentah dari kolam takungan Projek Hybrid Off River Augmentation Storage (HORAS) 600 di Sungai Selangor dan Kolam Takungan (Pond C) di Sungai Semenyih.

“Bagi mengukuhkan langkah mengatasi insiden pencemaran ini turut akan dirancang adalah pindaan Enakmen Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) 1999 untuk meningkatkan bayaran denda bagi kesalahan pencemaran sumber air.

“Kerajaan negeri melalui LUAS juga akan menguatkuasakan pelaksanaan pelepasan efluen berdasarkan keupayaan kapasiti sungai iaitu aplikasi Total Maximum Daily Load (TMDL), di kawasan yang ditetapkan selaras seksyen 56, Enakmen LUAS 1999 dan pelaksanaan Polluters Pay Principle (PPP),” katanya dalam Belanjawan Selangor 2021 di Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Katanya, cadangan pindaan Enakmen LUAS akan diangkat untuk mendapatkan persetujuan di dalam Persidangan Dewan Negeri.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri, LUAS dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah mengenalpasti tiga sungai iaitu Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah yang menjadi punca utama pencemaran di Sungai Selangor dan Sungai Langat.

“Justeru, projek Perintis Rawatan Biologikal bagi tujuan pemuliharaan kualiti air Sungai Gong juga akan dilaksanakan menggunakan kaedah kombinasi pendekatan biologi seperti perletakan bahan nanoteknologi (Aquaritin) dan kaedah fizikal seperti Raw Water Treatment System (RWTS) yang akan turut akan direplikasikan di Sungai Sembah, Sungai Beranang dan Sungai Buah.

“Seterusnya, pemantauan dan pengawasan melalui skuad PANTAS selama 24 jam di kawasan sensitif sumber air di Lembangan Sungai Selangor dan Sungai Langat. Selain itu, kerajaan negeri juga akan menambahkan bilangan stesen telemetri kualiti air bagi tujuan sistem amaran awal di hulu muka sauk yang berisiko,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan pelaksanaan empat projek ini akan bermula pada tahun ini dan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan seterusnya mengurangkan 90 peratus henti tugas di enam LRA tersebut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI