PARIT BUNTAR – Peniaga-peniaga kuih raya tetap yakin akan mendapat pulangan perniagaan apabila ada yang akan memborongnya pada saat akhir menjelang Aidilfitri.
Malah mereka masih mengharapkan jualan perniagaan akan bertambah baik pada saat akhir atau sehari sebelum Syawal.
Seorang peniaga, Siti Aisyah Shahrom, 39, yakin orang ramai akan mengerumuni gerai jualan kuih rayanya pada malam-malam terakhir Ramadan.
“Kehadiran pengunjung ke bazar hari raya khususnya tempat jualan kuih serta biskut raya agak perlahan, namun saya percaya orang ramai pasti akan berpusu-pusu pada saat akhir.
“Apatah lagi golongan peniaga akan melakukan lelongan pada malam terakhir Ramadan, justeru ia menjadi tarikan kepada orang ramai yang mahu melakukan pembelian pada saat akhir,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Jelas Siti Aisyah, dia menjual sebanyak 50 jenis biskut raya moden serta tradisional tahun ini, termasuklah shortbread, almond London, tart nanas, snow nestum, biskut aiskrim dan lain-lain.
Seorang lagi peniaga, Norhayati Mahmud, 43, berkata, dia tidak kisah untuk menurunkan harga jualan pada malam raya kerana sudah menjadi kelaziman baginya untuk berbuat begitu pada setiap tahun.
“Saya sudah biasa berbuat demikian kerana memahami sebilangan pengguna biasanya akan menunggu saat-saat akhir untuk melakukan pembelian kuih raya.
“Daripada sudut perniagaan pula, memberi diskaun pada malam raya tidak begitu menjejaskan hasil jualan kerana jumlah pembelian akan meningkatkan mungkin sekali atau dua kali ganda berbanding hari biasa,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Kosmo! mendapati, kebanyakan biskut raya dijual pada harga RM25 sebekas dan ada juga yang menjual secara pakej tiga bekas berharga RM70.