GEORGE TOWN – Seramai 60 orang penarik beca di sekitar pusat bandar ini menarik nafas lega apabila menerima sumbangan Aidilfitri daripada SMS Deen Jewellers di pekarangan Masjid Kapitan Keling, di sini hari ini.
Selain pengayuh beca, SMS Deen Jewellers turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai serta beg makanan kepada empat pusat tahfiz serta sebuah pusat anak-anak yatim di negeri ini.
Seorang penarik beca, Awang Man, 75, berkata, dia amat bersyukur dengan bantuan tersebut kerana jumlah pendapatan yang diperolehnya sepanjang Ramadan ini dikatakan tidak menentu.
“Usia semakin meningkat, jadi memang kudrat untuk mengayuh beca sudah kurang terutama pada bulan Ramadan ini.
“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada SMS Deen kerana memilih penarik beca dan memberi bantuan yang dapat mengurangkan beban kami,” katanya ditemui di pekarangan Masjid Kapitan Keling di sini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SMS Deen Jewellers, Mohamed Shaifudeen Mohamed Sirajudeen dan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
Sementara itu, seorang lagi penarik beca, Dahlan Ahmad,70 pula berkata, dia tidak dapat mengayuh beca sepanjang bulan Ramadan tahun ini kerana kurang sihat.
“Sepanjang Ramadan ini saya terpaksa berehat daripada mengayuh beca kerana diserang sesak nafas, jadi saya memang tiada langsung pendapatan.
“Saya amat hargai bantuan yang diberikan hari ini, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban kewangan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamed Shaifudeen berkata, program tersebut merupakan salah satu program khidmat masyarakat (CSR) yang diadakan oleh pihaknya bagi membantu golongan yang memerlukan pada musim perayaan ini. – KOSMO! ONLINE