KUALA LUMPUR – Pengarah sensasi, Syamsul Yusof kekal dengan tindakan berdiam daripada membalas persoalan media yang tertanya-tanya motif dia enggan melafazkan talak terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana seperti dipersetujui sebelum ini.
Tindakan mengunci mulut ditunjukkan anak Datuk Yusof Haslam itu berbeza dengan kemunculan sebelum ini sama ada di mahkamah atau di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI).
Sebaliknya Syamsul berulang kali menyebut ‘no comment’ selain meminta media merujuk kepada peguamnya, Azmi Mohd. Rais yang dikatakan lebih arif mengenai kesnya.
“Hari ini keputusannya, itulah dia. Saya tak nak komen apa-apa dah. Kita ikut proses mahkamah. Bagilah soalan pada peguam saya,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, hari ini.
Sepatutnya, hari ini Syamsul melafazkan talak terhadap Puteri Sarah, namun perkara itu tidak dilaksanakan berikutan tiada persetujuan mengenai beberapa terma penyelesaian membabitkan hadanah, nafkah anak, mutaah dan isu lain.
Malah pemilik nama lengkap Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, itu hanya berlalu dengan pantas menuju ke kenderaannya sambil diekori wakil media.
Syamsul tetap enggan memberikan komen sebaik prosiding kes tuntutan cerai isterinya itu berakhir biarpun diasak soalan secara bertalu-talu.
Membalas pula pertanyaan berkenaan sambutan Syawal bersama isteri kedua dan keluarganya, dia hanya menjawab ringkas.
“Dengan saya. Alhamdulillah syukur,” katanya yang terus memasuki kereta yang dipandu sendiri.
Sebelum itu, ketika tiba di perkarangan mahkamah pada pukul 9.40 pagi tadi, dia membalas persoalan mengenai kes rumah tangganya dengan bertanya semula sama ada media mengambil cuti raya atau tidak.
Terdahulu, proses perceraian Syamsul dan Puteri Sarah yang dijadualkan berlangsung hari ini, tidak berjaya dilakukan apabila kedua-dua mereka gagal mencapai kata sepakat dalam beberapa perkara.
Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding dijangka diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada tarikh lain.
Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 38, secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984. – KOSMO! ONLINE