SELAIN drama dan filem, Aidilfiti yang bakal menjelang kurang dua hari sahaja turut menghimpunkan pelbagai rancangan muzikal komedi termasuk dari stesen-stesen televisyen tanah air.
Stesen televisyen nombor satu tanah air, TV3 menyediakan program realiti Famili Duo Raya yang bakal bersiaran pada 30 April pukul 9 malam dengan menghimpunkan semua peserta untuk musim kedua seperti Ayda Jebat, Naim Daniel dan Zaki Yamani.
Selain itu, program ‘tradisi’ TV3, Sampaikan Raya yang dihoskan Izzue Islam dan Janna Nick kembali pada tahun ini serta ditayangkan pada malam raya bermula pukul 11 malam.
Famili Duo Raya gamat!
Program terhangat TV3, Melodi Raya juga bakal dipertontonkan menerusi dua episod iaitu pada 23 April dan 20 April pukul 12.30 tengahari.
Selain program muzikal, TV9 turut membawa rancangan masakan popular yang juga episod akhir, Dapur Tempur Ra-Ra dihoskan oleh Yasmin Hani pada 23 April, pukul 9 malam.
Episod akhir Dapur Tempur Ra-Ra menampilkan adik-beradik Shima Samarudin dan Muhammad Hanis Samarudin serta pasangan ibu dan anak, Nabila Huda bersama Keisha Laila.
TV3 turut menyajikan program Tanyalah Ustaz Seindah Kasih sebanyak tujuh episod yang bersiaran 22 April pada pukul 6.30 pagi.
Program ini menampilkan Da’i Aiman, Da’i Luqman, Da’i Hakim, Da’i Hadhari, Da’i Annas dan Da’i azrin sebagai hos.
Tanyalah Ustaz Seindah Kasih bakal mengupas topik berkaitan hari raya seperti beza budaya, tak balik beraya dan kongsi rezeki.
Gegar Bombastika Raya
Pada Aidilfitri tahun ini, stesen televisyen berbayar Astro menyajikan beberapa program popular raya mereka termasuk Gegar Vaganza Raya dengan menghimpunkan semua bintang Gegar Vaganza musim kesembilan pada hari raya pertama pukul 9 malam.
Pada malam raya, penonton dihiburkan dengan persembahan hebat Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi menerusi konsert Bombastika Raya yang dihoskan oleh Sherry Alhadad bersama Jihan Muse.
Bakal menggeletek hati ramai, penonton dibawa Elly Mazlein ke Jakarta, Indonesia untuk bertemu penghibur wanita nombor satu Indonesia, Rina Nose selain beradu lawak dalam Lina vs Rina, Siapa No. Syatu?
Tidak berakhir di situ, peminat kumpulan wanita Dolla dihidangkan dengan program Holla Dolla yang mengetengahkan lagu-lagu dalam mempersembahkan lagu popular daripada ikon industri muzik tanah air seperti Amy Mastura, Ramlah Ram dan Jeffrydin.
Sementara itu, Astro Warna pula membawakan 7 Malam Raya Sepahtu yang bakal menggeletek penonton pada malam raya menerusi pelbagai genre komedi Sepahtu seperti konsert, ‘stagecom’, dan buat pertama kalinya ‘telesketsa’ khas untuk pelanggan Astro.
Sementara UBI Superstar Raya pula memaparkan Fad Bocey, Sharif Zero, Namie, bersama Ajak Shiro dan Shuib Sepahtu kembali menghiburkan para penonton sempena Syawal ini dengan sketsa komedi muzikal bertemakan hari raya.
RTM penuhi jiwa, isi nurani
Saluran milik kerajaan, RTM pula tampil dengan program ilmiah dengan rancangan bercorak keagamaan bermula malam raya dengan tayangan Gema Takbir pada pukul 9 malam diikuti Gema Raya yang disiarkan pukul 8 malam.
Penonton juga diajak menghayati perjalanan rohani menerusi program dokumentari dan majalah pilihan iaitu Syahadah Raya pada 1 Syawal pukul 6.30 petang serta Tumit Tinggi Raya (2 Syawal) pukul 12.05 tengah hari.
Saksikan juga dokumentari khas berjudul Baju Melayu pada 2 Syawal, pukul 1.30 tengah hari.
RTM juga tidak ketinggalan hadir dengan Konsert Glamz Raya (22 April) pukul 9 malam bakal menampilkan persembahan barisan penyanyi terkenal seperti Ramlah Ram, Siti Nordiana, Tomok, Dayangku Intan, Azlan Typewriter dan Nabila Razali mendendangkan lagu raya popular.