SHAH ALAM – Lelaki warga emas yang memandu melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan terhadap dua kenderaan di Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA) dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya direkodkan, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, lelaki berusia 73 tahun itu juga telah menjalani pemeriksaan di Hospital Shah Alam.
“Kita telah bebaskan warga emas itu dengan jaminan polis. Kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan tindakan seorang lelaki warga emas yang memandu melawan arus untuk berpatah ke rumahnya di Seksyen 8 di sini selepas tidak mempunyai kad prabayar Touch n Go apabila tiba di Plaza Tol Sri Muda, LKSA.
Perbuatan itu seterusnya menyebabkan dua kemalangan di Kilometer 3.1 membabitkan Honda City yang terbabas kerana mengelak sehingga pemandunya berusia 33 tahun cedera dan berlanggar dengan Perodua Myvi secara berdepan di Kilometer 3.6 di LKSA.
Hasil siasatan awal turut mendapati lelaki warga emas itu pada awalnya dalam perjalanan menuju ke pasaraya Tesco di Seksyen 13 dari rumah di Seksyen 8 sebelum tersalah jalan dan memasuki LKSA. -K!ONLINE