MELAKA – Harga sayur-sayuran di Melaka tidak mengalami sebarang kenaikan, sekali gus menjadi antara yang termurah dalam pasaran berbanding negeri lain di Semenanjung.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) negeri, Norena Jaafar berkata, harga sayur dikesan mengalami penurunan sebanyak 10 peratus sejak awal bulan ini.
Ujarnya, antara sayur terlibat adalah kubis, kacang panjang, timun, sawi, kangkung dan tomato.
“Kini harga sayur-sayuran Melaka adalah antara yang termurah di pasaran berbanding negeri lain.
“Harga sayur-sayuran menjadi lebih stabil susulan cuaca kemarau yang menyebabkan pengeluaran meningkat berbanding permintaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri di sebuah pasar raya di Bertam di sini, hari ini.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Alex Seah Shoo Chin.
Tambah Norena, pihaknya juga telah membuat lawatan dan berbincang dengan para pekebun di Cameron Highlands, Pahang bagi bersama-sama membantu menstabilkan semula harga sayur yang sebelum ini didakwa meningkat disebabkan faktor cuaca hujan. – KOSMO! ONLINE