PADANG BESAR – Sebuah kandang lembu bagaikan bertukar menjadi stesen minyak mini apabila disyaki menjual bahan bakar bersubsidi kepada kenderaan bernombor pendaftaran Thailand.
Kegiatan itu terbongkar selepas sepasukan penguat kuasa Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyerbu premis itu menerusi Ops Tiris, semalam.
Pengarah KPDN negeri, Norazah Jaapar berkata, serbuan dilakukan kira-kira pukul 9.30 pagi itu selepas hasil risikan sejak beberapa minggu lalu oleh pasukan penguat kuasa tersebut.
“Ketika serbuan dilakukan, seorang lelaki warga tempatan berusia awal 30-an berada di stor berkenaan dan dia mengaku bekerja sebagai penjaga stor.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat sejumlah kira-kira 1,200 liter diesel di dalam lima tong drum dan satu unit tangki IBC,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Kata beliau, diesel dan beberapa peralatan lain termasuk dua unit pam bermotor, empat hos penyedut minyak dan satu unit bil elektrik disita dengan nilai rampasan berjumlah RM3,780.
“Modus operandi bagi kes ini adalah suspek akan menggunakan kenderaan nombor pendaftaran Malaysia untuk membeli minyak di stesen-stesen di negeri ini dan membawanya untuk disimpan di sebuah stor di kandang lembu ini.
“Suspek dipercayai akan menjual bahan bakar bersubsidi ini kepada kenderaan bernombor pendaftaran asing yang datang mengisi diesel di lokasi serbuan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE