fbpx

Peguam nafi Syamsul Yusof lengahkan lafaz cerai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROSIDING JKP tidak dijalankan dengan betul apabila Syamsul dan Puteri Sarah berjumpa pegawai jawatankuasa secara berasingan menunjukkan situasi tersebut sebagai kecacatan serius.

KUALA LUMPUR – Peguam kepada Syamsul Yusof, Azmi Mohd. Rais menafikan isu berbangkit seperti kegagalan Jawatankuasa Pendamai (JKP) sebagai alasan untuk anak guamnya melengahkan lafaz cerai terhadap pelakon Puteri Sarah Liyana.

Katanya, mereka membantah prosiding JKP tidak dijalankan dengan betul apabila kedua-dua pihak berjumpa pegawai jawatankuasa secara berasingan, sekali gus menunjukkan situasi tersebut sebagai kecacatan serius.

“Sepatutnya mereka bersemuka bagi mencari titik perdamaian tetapi Puteri Sarah pun jelas berkongsi dalam TikTok mengatakan keengganan berjumpa Syamsul dalam sesi JKP.

“Secara teorinya JKP adalah perbincangan untuk mereka, manakala pegawai JKP pula perlu memujuk supaya berdamai. Itu yang kami hujahkan tadi.

“Kami telah menyatakan bantahan berhubung perkara itu sebagaimana tercatat dalam ikrar Syamsul dalam draf terma penyelesaian yang sebelum ini dipersetujui mereka.

“Jadi kami telah membuat pembetulan selain mencadangkan beberapa terma tetapi tidak dipersetujui Puteri Sarah seperti keengganannya menarik balik kes sivil membabitkan Ira Kazar,” katanya ketika ditemui Kosmo! Online.

Hari ini, Syamsul atau nama penuhnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof, 39, dan Puteri Sarah, 38, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding lafaz talak namun perkara tersebut tidak dilaksanakan berikut tiada persetujuan mengenai beberapa terma.

Selain isu JKP, permintaan pengarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu supaya Puteri Sarah menarik balik saman sivil terhadap isteri keduanya, Ira Kazar dan ahli keluarga lain disifatkan Puteri Sarah sebagai melampau.

Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas menetapkan prosiding diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) pada 25 April ini.

Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya itu secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Bagaimanapun, terma-terma penyelesaian yang dipersetujui itu hanya dinyatakan pada tarikh tersebut termasuk hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.

Pada 24 Mac lalu, selepas proses JKP berlangsung di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) tiada jalan penyelesaian dicapai kedua-dua pihak.

Azmi menegaskan, rundingan yang dijalankan secara berasingan tidak menepati syarat JKP, sedangkan sepatutnya Syamsul, Puteri Sarah dan wakil mereka perlu duduk semeja dengan Pengerusi JKP.

Sebelum itu, pada 7 Mac lalu, pasangan tersebut diperintahkan oleh mahkamah sama supaya melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.

Hakim Syarie terbabit memerintahkan demikian selepas keengganan Syamsul untuk menceraikan ibu kepada dua cahaya matanya itu atas alasan masih sayang serta yakin ada sinar untuk rumah tangga mereka.

Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian dalam kemelut rumah tangga.

Antara alasan dikemukakan Puteri Sarah selaku plaintif untuk bercerai pula tiada persefahaman dan telah berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) serta tidak lagi dapat hidup bersama sebagai suami isteri menurut hukum syarak.

Untuk rekod Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI