JEMPOL – Sepasang suami isteri warga emas ditemui mati dalam kebun kelapa sawit Mahsan, Bandar Seri Jempol, di sini, petang semalam.
Sumber berkata, kedua-duanya disedari tidak pulang ke rumah sejak keluar awal pagi 16 April lalu untuk rutin ke kedai teh berhampiran, bersarapan bersama sebelum ke kebun.
Menurutnya, anak pasangan suami isteri itu bimbang ibu bapanya tidak pulang ke rumah walaupun hari sudah malam dan segera memaklumkan kepada saudaranya bagi mencari mereka.
“Akhirnya, pasangan warga emas itu ditemukan mati di kebun mereka kira-kira pukul 4 petang semalam. Si suami meninggal di dalam kereta, manakala isterinya pula tidak jauh dari kereta berkenaan di dalam kebun,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan bedah siasat telah dijalankan di Unit Perubatan Forensik, Hospital Jempol, pagi tadi.
“Mangsa yang meninggal dunia ialah Chang Tong, berusia 83 tahun dan isterinya, Wong Kwan Thai @Wong Kam Thai, 82. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kedua-duanya ialah serangan jantung.
“Kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE