KULIM – Seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan selepas bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota polis dalam operasi pencegahan jenayah narkotik di Kampung Pondok Labu, di sini semalam.
Dalam kejadian pada pukul 3 petang itu, seorang lagi suspek yang merupakan penumpang kereta jenis Honda Civic bernombor pendaftaran Thailand tersebut sempat melarikan diri.
Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berkaitan jenayah dadah di kawasan kampung berkenaan.
Katanya, anggota polis yang melakukan rondaan kemudian terserempak dengan kereta suspek dalam keadaan mencurigakan.
“Semasa anggota polis ingin membuat pemeriksaan, pemandu kereta itu terus memecut laju dan bertindak agresif dengan cuba merempuh anggota polis.
“Melihat tindakan suspek yang boleh membahayakan nyawa, anggota terpaksa mempertahankan diri dengan menembak tayar hadapan kereta suspek sehingga pancit,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, suspek terus memecut kereta walaupun dalam keadaan tayar pancit ke arah Empangan Mengkuang di Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang sebelum terbabas.
“Kita berjaya menahan pemandu kereta terbabit, manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri,” ujarnya.
Menurutnya, hasil pemeriksaan menemui satu bungkusan disyaki mengandungi dadah jenis syabu dianggarkan seberat 1.80 gram.
“Semakan ke atas suspek mendapati dia mempunyai 24 rekod kesalahan lampau melibatkan kes jenayah dan dadah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE