fbpx

Pemberian TAHAP kepada kerajaan negeri meningkat RM400 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA – Kerajaan Persekutuan menambah baik pemberian dan sokongan kepada kerajaan negeri pada tahun ini dengan tujuh keputusan dicapai demi melaksanakan pembangunan negara lebih seimbang.

Perkara itu dipersetujui menerusi Mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2023 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di mana ia turut dihadiri semua Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan bersetuju meningkatkan Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup (Pemberian TAHAP) kepada RM400 juta.

“Ia termasuk semakan semula dan penambahbaikan bagi petunjuk serta pengagihan Pemberian TAHAP sebagai satu komitmen Kerajaan Persekutuan dalam menyediakan peluang kepada kerajaan negeri melaksanakan projek pembangunan mengikut keutamaan dan acuan masing-masing.

“Ini seterusnya dapat memperkukuh lagi momentum pemulihan ekonomi ke arah pembangunan Malaysia Madani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Anwar berkata, selain itu, kerajaan negeri disaran memberi keutamaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan di negeri masing-masing kepada kontraktor Kelas G1 hingga G4 selain tidak tertumpu kepada beberapa syarikat konsesi besar.

“Langkah itu bertujuan membantu kitaran ekonomi kontraktor-kontraktor kecil dengan lebih adil dan secara tidak langsung dapat merangsang pertumbuhan ekonomi negara lebih tuntas.

“Pada masa sama, Kementerian Kewangan akan menambah peruntukan sebanyak RM250 juta lagi bagi penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan sebagai memahami kepentingan supaya keadaannya sentiasa selamat dan selesa untuk kegunaan rakyat,” jelasnya.

Katanya, peruntukan itu bagi menangani masalah jalan raya berlubang yang menjadi antara penyumbang kepada kemalangan selain dikhususkan untuk manfaat kontraktor-kontraktor kecil bumiputera.

“Penambahan ini menjadikan peruntukan keseluruhan penyelenggaraan berkala pavemen Jalan Persekutuan meningkat kepada RM1 bilion berbanding RM750 juta sebagaimana diumumkan dalam Belanjawan 2023,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI