MELAKA – Sebuah keluarga dari Skudai, Johor perlu menempuh perjalanan selama hampir dua hari untuk ke Aceh, Indonesia untuk menyambut Aidilfitri bersama ibu tercinta.
Nurul Indah Alias, 24, berkata, dia bersama adik-beradik yang lain teruja menaiki feri kali pertama dari Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Kota Laksamana di sini, semalam.
Katanya, perjalanan ke Aceh tidak mudah kerana perlu melakukan transit di Dumai terlebih dahulu sebelum meneruskan perjalanan dengan menaiki bas.
“Ini kali pertama saya ke Aceh sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat, perjalanan agak mencabar kerana kami perlu menaiki feri selama lebih dua jam dari Melaka untuk tiba di Dumai.
“Selepas itu kami akan menaiki bas ke Aceh yang memakan masa sehari perjalanan. Sebelum ini saya menaiki kapal terbang, tetapi setelah berkeluarga perkhidmatan feri menjadi pilihan kerana lebih murah,”katanya.
Ujarnya lagi, harga satu tiket penerbangan menelan belanja lebih RM1,000, manakala tambang feri hanya kira-kira RM300 seorang.
Tinjauan di Kompleks ICQS mendapati, warga Indonesia yang bekerja di negara ini mula beratur seawal pukul 8.45 pagi untuk pemeriksaan pasport, sebelum menaiki feri pada pukul 10 pagi.
Sementara itu, seorang lagi warga Indonesia, Naswardi Danius, 63, berkata, dia menempah tiket feri seminggu lebih awal untuk pulang ke Bukit Tinggi, Minangkabau.
Katanya, dia bimbang terpaksa menunda tarikh pulang ke kampung sekiranya menunggu pada saat akhir untuk membeli tiket. – KOSMO! ONLINE