PETALING JAYA – Orang ramai dinasihatkan untuk tidak cuba membuka topi keledar mangsa kemalangan motosikal, sekiranya tidak mempunyai asas dalam perubatan.
Menerusi video yang dikongsikan seorang pegawai perubatan, Dr. Aliff Zaki di TikTok miliknya, dia menasihatkan kepada sesiapa sahaja yang ada di lokasi kemalangan berlaku untuk tidak terburu-buru ketika membantu mangsa kemalangan.
Hal ini kerana, tindakan yang diambil boleh membahayakan lagi nyawa mangsa kemalangan sekiranya menerima rawatan yang salah.
“Bila nak tolong, terutama mangsa kemalangan motosikal, yang pertama, jangan cuba buka ‘helmet’.
“Kita risau kalau ada kemalangan di bahagian leher, di mana kalau kita salah angkat atau salah pusing boleh menyebabkan kecederaan pada saraf tunjang dan kelumpuhan serta membawa maut,” katanya.
Tambahnya lagi, ada cara yang betul untuk membuka topi keledar mangsa kemalangan iaitu dengan cara memegang kepala mangsa daripada bahagian hadapan untuk memastikan bahagian kepala mangsa dalam keadaan statik.
Kemudian, seorang lagi perlu membuka ‘helmet’ mangsa ke atas secara perlahan-lahan dan jangan sesekali berkasar atau tarik sekiranya tersangkut.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai berkongsi pengalaman mereka dibantu oleh orang ramai ketika kemalangan.
“Masa aku kemalangan, semua yang tak boleh, semua orang awam buat dekat aku,” komen Nunadh.
“Kawan aku dah lumpuh sebab orang kampung paksa tarik keluar masa tersepit,” komen seorang pengguna TikTok yang dikenali sebagai Mr. Unknown.
Perkongsian itu tular di TikTok dengan tanda suka sebanyak 4,614,97 komen dan 74 perkongsian. -KOSMO! ONLINE