fbpx

Puteri Sarah yakin ‘dilepaskan’, dedah sebab andai Syamsul ubah fikiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PUTERI Sarah mahu kemelut rumah tangganya bersama Syamsul segera diselesaikan dengan cara baik agar dia dapat meneruskan kerja dan kehidupan seperti biasa.

KUALA LUMPUR – Hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan dengan perasaan yakin ‘dilepaskan’ hari ini, Puteri Sarah Liyana berharap Syamsul Yusof tidak berubah fikiran.

Kata Puteri Sarah, dia sudah mempunyai jawapan andai suaminya itu kembali kepada keputusan enggan menceraikannya.

“Sepanjang seminggu ini, alhamdulillah semuanya tenang. Semoga manis itu sampai ke hari ini.

“Jangan tiba-tiba dia tukar fikiran pula. Apa pun saya berserah terhadap segala kemungkinan yang bakal berlaku pada hari ini.

“Harap tiada lagi pergaduhan atau rasa tak puas hati. Saya nak selesaikan semuanya hari ini. Saya nak kebebasan. Kalau tak dilepaskan, saya akan beritahu sebabnya. Nantikan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Ibu kepada dua cahaya mata itu hadir ke mahkamah bagi menjalani proses sulh terlebih dahulu sebelum prosiding lafaz cerai dan kemudian disusuli hadanah.

Ditanya lagi mengenai harapannya, Puteri Sarah berharap semua kemelut dapat diselesaikan dengan segera, tambahan pula dia bakal menjalani penggambaran di Indonesia pada Mei depan.

“Saya rasa, kalau hari ini dia lepaskan, kehidupan saya baru dapat bermula. Doakan sebab saya rasa tak sabar untuk teruskan kehidupan.

“Sekarang kami tengah membincangkan perincian akhir mengenai tuntutan nafkah.

“Tak ada gaduh-gaduh lagi sebab banyak kerja tertangguh. Lagipun, saya akan terbang ke Jakarta untuk penggambaran. Jadi, kalau boleh saya nak selesaikan cepat,” katanya yang berbaju putih sebagai lambang kebebasan.

Terdahulu, Puteri Sarah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.

Dia nekad memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga mereka sejak empat tahun lalu tidak menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul menikahi Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.

Pada 21 Mac lalu, Syamsul memfailkan tuntutan nusyuz terhadap Puteri Sarah dengan alasan isteri pertamanya itu masih menghubungi bekas kekasihnya yang berstatus suami orang.

Alasan lain dikemukakan Syamsul termasuk meninggalkan rumah kelamin sejak Oktober 2020, enggan mematuhi notis nusyuz dan memfitnahnya memukul serta tidak memberi nafkah.

Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata Syaikhul Islam, 6, serta Sumayyah, 4. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI