JOHOR BAHRU – Seorang penjawat awam yang telah didakwa menggunakan jawatannya bagi mendapatkan suapan dua hari lalu sekali lagi dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini bagi empat pertuduhan menerima wang tunai bernilai RM24,738 tanpa balasan, pada 2020 dan 2021.
Tertuduh, Nurul Syahirah Omar, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas sebagai Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) Gred N19 di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Mersing didakwa bersetuju menerima untuk dirinya wang berjumlah RM24,738 melalui akaun Maybank miliknya daripada seorang kontraktor berusia 46 tahun tanpa balasan.
Perbuatan itu diketahui wanita terbabit yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai pembantu tadbir di jabatan itu.
Tertuduh didakwa melakukan semua perbuatan itu di Maybank Islamic Berhad, Taman Nusa Bestari di sini, antara 24 November 2020 hingga April 2021.
Bagi perbuatan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nik Lokman Hakim Nik Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam Mohd. Fazaly Ali Mohd. Ghazaly.
Terdahulu, Nik Lokman Hakim mencadangkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dikenakan terhadap tertuduh.
Sementara itu, peguamnya memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan jumlah yang paling minimum.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin warga tempatan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 16 Mei depan. – KOSMO! ONLINE